Sorting by

×

WRUR AYER MOLEK: PENDUDUK BUSUT LICIN LEGA, BELENGGU BANJIR BAKAL BERAKHIR

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER MOLEK 7 Mei – Penduduk Kampung Busut Licin, di sini, menarik nafas lega apabila masalah banjir berulang dan akses jalan yang daif mendapat perhatian Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Bagi penduduk, bantuan yang disalurkan itu bukan sahaja memberi kelegaan, malah membuka harapan baharu untuk kehidupan lebih selesa selepas sekian lama berdepan masalah banjir setiap kali hujan berpanjangan.

Seorang penduduk, Mohd Ali Abdul Rahman, 60, meluahkan rasa syukur apabila isu yang membelenggu mereka sejak puluhan tahun akhirnya diberi perhatian.

“Perasaan saya sangat gembira dan berterima kasih atas usaha ini. Rumah kami kerap dilanda banjir bila hujan berlarutan sampai tiga hingga empat hari.

“Saya sudah hampir 40 tahun tinggal di sini. Masalah utama kami ialah banjir dan jalan masuk yang jauh serta belum diturap. Bila hujan, memang agak sukar untuk keluar masuk,” katanya.

Mohd Ali berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kempen Kebersihan dan Pembaikan Kecil Rumah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek Hang Tuah Jaya: Kampung Kita di Kampung Busut Licin, di sini, semalam.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman dan Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mohd Faizal Mohd Zin.

6330346774706458761
MARIAM.

Sementara itu, Mariam Daud, 56, turut berkongsi pengalaman sama apabila banjir lumpur sering memasuki kediamannya sehingga menjejaskan kehidupan harian.

“Saya sangat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya MPHTJ. Sebelum ini, banjir kerap berlaku, kadang-kadang sampai masuk dalam rumah dan membawa lumpur.

“Dalam tempoh lima tahun boleh dikatakan tiga kali banjir besar berlaku di kawasan ini. Kami harap kerja menurap jalan dapat disegerakan supaya memudahkan penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: ZIARAH KASIH MAIM SANTUNI 10 KELUARGA ASNAF, MUALAF