Sorting by

×

MATTA MELAKA PERLUAS PROMOSI PELANCONGAN KE PANTAI TIMUR

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mei – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka merancang untuk memperluaskan promosi pelancongan negeri ke Pantai Timur melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang pada Jun depan.

Pengerusi MATTA Melaka Goh Hock Gin berkata, usaha berterusan itu adalah langkah berterusan dalam mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan di peringkat domestik.

Menurutnya, ia merupakan sebahagian daripada jelajah promosi yang bakal diadakan di seluruh negara, di mana ia akan bermula di Pantai Timur terlebih dahulu.

“Tahun ini merupakan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia, di mana MATTA Melaka akan menggembleng tenaga dalam usaha menggamit pelancong ke Melaka.

“Usaha itu bagi mencapai sasaran pelancong ke negeri bersejarah ini dengan sasaran seramai 19 juta pengunjung pada tahun ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah sempena MATTA Fair Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Melaka Mohamad Bukhari Che Man dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Hock Gin berkata setakat ini pihaknya belum merancang untuk mengadakan jelajah promosi ke luar negara berikutan krisis geopolitik yang berlaku.

“Bagi promosi luar negara, buat masa ini kita belum merancang lagi dan sekiranya ada, perancangan itu mungkin hanya meliputi dan memberi tumpuan kepada negara Asia Tenggara.

“Sedikit kekangan untuk mempromosi hingga ke negara luar susulan faktor ekonomi global serta isu penerbangan yang menjejaskan perjalanan ke destinasi jarak jauh seperti Timur Tengah dan Eropah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post WRUR AYER MOLEK: PENDUDUK BUSUT LICIN LEGA, BELENGGU BANJIR BAKAL BERAKHIR