Jagung Komong bakal jadi identiti Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

JASIN 30 April. – Tanaman jagung manis dan jagung ungu yang sedang diusahakan Koperasi Komong di tanah seluas 18.62 hektar di Rezab Padang Ragut Chin Chin, di sini, diyakini boleh dikomersialkan sebagai satu daripada jenama produk pertanian terkemuka di negara ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, jenama jagung Komong perlu dikomersialkan supaya negeri ini mempunyai satu identiti baharu dalam bidang pertanian sehebat jenama mangga harum manis yang sinonim dengan Perlis.

Nama Komong yang disifatkan unik itu juga ujarnya, dapat menjadi penarik dalam memasarkan produk itu di dalam dan luar negara.

SULAIMAN… jenama jagung Komong perlu dikomersialkan supaya negeri ini mempunyai satu identiti baharu dalam bidang pertanian sehebat jenama mangga harum manis di Perlis.

“Saya tertarik dengan nama Komong itu kerana bagi saya ia cukup unik dan mempunyai nilai komersialnya.

“Bila ada jenama ini di pasaran mungkin orang akan tertanya-tanya Komong itu apa? Jadi, dari situ mereka boleh tahu bahawa Komong ialah kampung yang terletak di daerah Jasin, Melaka.

“Saya percaya dengan jenama ini ia dapat membantu menaikkan nama Melaka suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan dan merasmikan ladang jagung Komong Jasin Berhad anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka, di sini, hari ini.

SULAIMAN (tengah) menyampaikan replika cek bantuan PPL FAMA dan peralatan lepas tuai kepada usahawan PPL terpilih di kawasan Simpang Bekoh dan Chin Chin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA), Datuk Wira Ghazalee Muhammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Norhizam Hassan Baktee serta kenamaan-kenamaan lain.

Dalam majlis itu Sulaiman turut menyampaikan bantuan Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) FAMA dan peralatan lepas tuai (timbang dan bakul) bernilai RM43,350 kepada usahawan PPL terpilih di kawasan Simpang Bekoh dan Chin Chin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1933
Kongsi :
Previous post Agong zahir kegusaran peningkatan kes positif COVID-19
Next post UniMEL bakal dilancarkan tahun ini
Ubah saiz-+=