UniMEL bakal dilancarkan tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA SUNGAI BARU 30 April. – Penubuhan Universiti Melaka (UniMEL) sebagai universiti penuh pertama milik Kerajaan Negeri Melaka melalui gabungan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) dan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi (MiCoST) bakal dilaksanakan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa di Jabatan Ketua Menteri (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal & Vokasional Sains dan Inovasi), Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, proses pembangunan ke arah menaik taraf KUIM ke universiti berkenaan kini sudah mencapai 95 peratus memandangkan cadangan itu sudah mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurutnya, pihaknya kini sudah hampir memenuhi keseluruhan kriteria dan indikator yang ditetapkan sebelum ini.

“Terdapat enam kriteria yang perlu dipenuhi bagi menubuhkan universiti ini antaranya dari segi kemasukan jumlah profesor, pengajian kedoktoran serta keutuhan kewangan KUIM.

“Kita yakin semua kriteria itu akan dipenuhi tahun ini bagi mengisyhtiharkan KUIM sebagai UniMEL dalam tahun ini juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Pemasyhuran Canselor KUIM, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Auditorium Ibnu Khaldun, KUIM yang turut dihadiri isterinya, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan isteri Datin Seri Utama Munira M. Yusop, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan Naib Canselor Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora serta tetamu lain.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya kini sedang dalam proses mencari tenaga pengajar yang berkelayakan dan melakukan beberapa penyelidikan ke arah meluaskan lagi empayar universiti berkenaan sebagai nukleus kepada hub pendidikan Melaka pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1174
Kongsi :
Previous post Jagung Komong bakal jadi identiti Melaka
Next post Bazar ditutup: Melaka terselamat, tapi jangan ambil mudah
Ubah saiz-+=