
PRN MELAKA: JANGAN ADA PRASANGKA, TEMPOH MASA DITETAPKAN SPR MUNASABAH – AB RAUF
SERI NEGERI 7 Oktober – Penetapan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dianggap sebagai munasabah.
Menghormati perkara itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, semua pihak perlu memberikan kepercayaan penuh kepada SPR untuk melaksanakan proses demokrasi berkenaan yang bertujuan memilih wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi penggal akan datang.
Katanya, sebagai badan diberi amanah melaksanakan pilihan raya, SPR juga perlu meneliti pelbagai aspek termasuk logisitik dan keperluan berkaitan yang lain agar urusan PRN Melaka berjalan lancar.
“Meskipun ada pihak mengatakan tempoh itu panjang tetapi tarikh hari mengundi akan tetap tiba, jadi kita laksanakan gerak kerja terbaik demi rakyat, untuk rakyat.
“Janganlah agak-agak ada prasangka buruk. Oh..ini mesti ada satu perancangan nak memanjangkan pilihan raya kerana ada isu-isu.
“Saya juga banyak menjalankan (terlibat) kempen-kempen pilihan raya, dalam pilihan raya negeri, pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Tempoh ini adalah satu tempoh yang munasabah pada SPR untuk menguruskan urusan-urusan pengurusan bagi menjalankan PRN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hari ini, SPR mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRN Melaka ke-16 iaitu melibatkan hari penamaan calon pada 31 Oktober, pengundian awal pada 10 November dan hari pengundian 14 November 2026.
PRN Melaka Ke-16 diadakan susulan pembubaran DUN Melaka Ke-15 pada 23 September lalu.
Untuk rekod, PRN Melaka ke-15 pada 20 November 2021 yang lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk Kerajaan Negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.
Keputusan itu menyaksikan BN memenangi kerusi di Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Asahan, Pantai Kundor, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Duyong, Telok Mas, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai.
Lima kerusi dimenangi PH ialah Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala PN memenangi Sungai Udang dan Bemban.
PRN Melaka 2021 menyaksikan seramai 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


