PRN MELAKA: SIAPA RAKAN STRATEGIK BN? TUNGGU RUNDINGAN SELESAI

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 7 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka masih membuka ruang kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusinya, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rundingan akan dilakukan secara berperingkat sebelum rakan strategik BN dimuktamadkan.

Katanya, setiap pihak yang berminat untuk bekerjasama akan dinilai berdasarkan sumbangan dan kekuatan yang boleh dibawa bagi membentuk satu gabungan yang lebih kukuh.

“Setakat hari ini kita masih lagi terbuka kepada mereka yang nak menjalankan kerjasama.

“Sebab kita akan minta apakah sumbangan mereka untuk bergabung dengan kita dan apakah sumbangan kita kepada mereka untuk mendapatkan satu pasukan yang lebih kuat dan mantap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri Ketua-Ketua UMNO Bahagian di Bilik Mesyuarat Hang Jebat, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka berkata, BN turut menerima isyarat daripada beberapa pihak yang menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama menerusi media sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan mengenai rakan strategik BN bukan terletak pada beliau semata-mata, sebaliknya cadangan hasil rundingan akan dipersembahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) BN untuk diputuskan.

Sebelum ini, Ab Rauf diberikan mandat oleh Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding dengan mana-mana pihak bagi menjalin kerjasama menghadapi PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

284
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: JANGAN ADA PRASANGKA, TEMPOH MASA DITETAPKAN SPR MUNASABAH – AB RAUF
Next post PENANTIAN BERAKHIR, MELAKA BINA KEMUDAHAN RITUAL TERAKHIR MASYARAKAT INDIA