PRN MELAKA: PILIH SECARA MATANG, INI ‘JAMBATAN’ TENTUKAN MASA DEPAN – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 7 Oktober – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 perlu dilihat sebagai ‘jambatan’ untuk menentukan masa depan negeri dan generasi akan datang, bukan medan menyemai kebencian, hasutan atau prasangka.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, rakyat perlu menggunakan ruang demokrasi itu secara matang dengan membuat pertimbangan sebelum menentukan pilihan pada hari pengundian.

“Kita perlu memikirkan bagaimana Melaka dan masa depan anak cucu kita supaya jambatan pilihan raya ini ialah jambatan mengukur masa depan anak cucu kita yang sedang kita asuh dan akan kita wariskan negeri ini kepada mereka.

“Rakyat juga perlu membuat pertimbangan secara matang sebelum menentukan pilihan pada hari pengundian.

“Rakyat Melaka, jangan terpengaruh dalam unsur-unsur hasutan, kebencian, kejahatan, fitnah dan prasangka ini,” katanya pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Hang Jebat, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, proses demokrasi perlu berlangsung dalam suasana aman dan harmoni dengan semua pihak menghormati kematangan rakyat dalam menentukan pilihan masing-masing.

Beliau turut mengingatkan jentera BN supaya mengekalkan ketertiban sepanjang tempoh kempen kerana pendekatan yang ditampilkan mencerminkan kematangan dalam berpolitik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka Ke-16, manakala hari penamaan calon pada 31 Oktober dan pengundian awal pada 10 November.

PRN Melaka 2021 menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MIC HARAP KERUSI GADEK KEKAL
Next post PRN MELAKA: JANGAN ADA PRASANGKA, TEMPOH MASA DITETAPKAN SPR MUNASABAH – AB RAUF