
PRN MELAKA: MIC HARAP KERUSI GADEK KEKAL
BANDA HILIR 7 Oktober – MIC berharap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek kekal menjadi milik parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, kata Naib Presidennya Datuk T. Murugiah.
Beliau berkata, pihaknya bersama jentera di semua peringkat kini telah berada dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya itu.
“Kita sentiasa bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya. Perbincangan juga telah diadakan bersama cawangan dan ketua bahagian supaya mereka menyiapkan jentera masing-masing untuk membantu Barisan Nasional (BN), khususnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Peletakan Batu Asas Tempat Ritual Terakhir Masyarakat India Melaka yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) Negeri Melaka, Datuk VP Shanmugam, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai status DUN Gadek, Murugiah berkata, MIC ketika ini masih melihat kerusi berkenaan sebagai milik parti itu, namun keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi akan ditentukan menerusi rundingan di peringkat tertinggi BN.
“Buat masa ini kerusi masih di Gadek, tetapi mungkin pihak presiden akan berbincang dengan BN di peringkat tertinggi dan mereka akan menentukan kerusi paling sesuai untuk MIC.
“Apapun, saya yakin dan percayaGadek masih milik MIC,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, soal calon juga akan diserahkan kepada Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran untuk menentukan individu yang paling sesuai mewakili parti pada PRN Melaka Ke-16.
“Untuk calon, kita serah kepada presiden dalam menentukan siapa calon yang sesuai. Beliau tahu siapa yang hendak dipilih dan calon paling sesuai,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


