MAIM DISARAN SEDIA KIOS CENDERAMATA PRODUK MELAKA DI MASJID SELAT

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 7 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyarankan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyediakan kios cenderamata di Masjid Selat bagi mengetengahkan produk beridentitikan Melaka kepada pelancong.

Beliau berkata, langkah itu dapat memanfaatkan kehadiran pengunjung ke Masjid Selat untuk memperkenalkan produk tempatan, sekali gus memberi peluang kepada pelancong membawa pulang buah tangan yang mempunyai identiti Melaka.

“Sebab itu saya mahu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut menyediakan kios cenderamata yang mengetengahkan produk beridentitikan Melaka.

“Bangunan kita dah cantik. Sekarang, produk Melaka pula mesti kita angkat supaya terkenal di seluruh dunia,” katanya dalam satu hantaran selepas meninjau prasarana dan kemudahan baharu untuk jemaah di masjid ikonik itu pada Khamis, yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Ab Rauf berkata, Masjid Selat terus menjadi antara tarikan ikonik pilihan pengunjung bukan sahaja kerana seni bina dan pemandangannya, malah mempunyai potensi untuk dimanfaatkan sebagai platform memperkenalkan produk tempatan.

“Kalau pelancong sudah datang, biarlah mereka pulang bukan sekadar dengan gambar, tetapi dengan cerita dan buah tangan yang ada identiti Melaka,” katanya.

Menurut Ab Rauf, usaha mengetengahkan produk beridentitikan Melaka di lokasi tumpuan pelancong dapat membantu memperluaskan lagi pengenalan produk tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post PENANTIAN BERAKHIR, MELAKA BINA KEMUDAHAN RITUAL TERAKHIR MASYARAKAT INDIA