ECO-CRUISE PAYA LEBAR SAJIKAN TARIKAN BERTARAF LIMA BINTANG BUAT PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER LIMAU 8 Oktober – Tidak keterlaluan apabila ada pihak yang mengumpamakan Sungai Paya Lebar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Masjid Tanah, seperti ‘Mini Amazon’ bagi Negeri Melaka.

Apa tidaknya, tarikan menerusi produk pelancongan Eco-Cruise Paya Lebar diakui sebagai antara yang terbaik oleh pelawat asing dari China, Singapura, Mesir, Sepanyol, Hungary dan United Kingdom yang merasai sendiri pengalaman menelusuri sungai berkenaan.

Malah kerana kagum dengan tarikan flora dan fauna di sungai berkenaan ada dalam kalangan pelancong asing berkenaan yang memberikan pengiktirafan lima bintang.

Pengedali bot persiaran Mohd Nor Ibrahim berkata, tarikan paling mahal di sungai berkenaan dan menjadi tumpuan pelancong adalah menyaksikan sang bedal berenang atau berjemur di tebingan sungai.

“Itu paling pelancong suka, kerap juga ketika saya bawa pelancong ada buaya dengan berat anggaran lebih 500 kilogram (kg) lalu ditepi bot kami, mereka teruja kerana tidak menyangka di Paya Lebar ada tarikan seperti itu.

“Selain buaya, tarikan lain adalah reptilia seperti pelbagai jenis ular, tuntung yang jarang ditemui dan bangau hitam kerana saiznya yang agak besar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, sebagai komuniti di sungai berkenaan dia amat memuji idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang menghidupkan sungai berkenaan menerusi inisiatif Eco-Cruise Paya Lebar.

Dia yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Melaka Barat berkata, inisiatif itu secara tidak langsung merancakkan perkembangan industri pelancongan di utara Melaka khususnya di Paya Lebar yang kini semakin menjadi sebutan di bibir pelancong domestik dan antarabangsa.

Pesara Bank Negara ini berkata, dia memanfaatkan peluang terbuka hasil inisiatif berkenaan yang jelas terbukti membantu komuniti nelayan sungai sepertinya untuk menjana pendapatan sampingan.

“Saya bangga melakukan kerja ini, ada juga perasaan gembira kerana kita bawa pelancong asing, secara tidak langsung kami menjadi duta kecil pelancongan bagi Negeri Melaka.

“Bot saya mampu membawa seramai 12 penumpang, satu kepala dikenakan bayaran RM50, jumlah keseluruhan adalah RM600 kerja pula sekitar dua jam sahaja, memang sangat berbaloi. Pada hari tertentu saya boleh buat dua trip membawa pelancong menelusuri sungai.

“Kerana teruja dan berpuas hati dengan tarikan dihidangkan ramai dalam kalangan pelancong ini tidak lokek untuk beri tips lebih, syukur kerana kami dapat menikmati limpahan rezeki hasil daripada perancangan Kerajaan Negeri yang memberikan impak besar kepada komuniti di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post 60 TAHUN MENANTI, MELAKA REALISASI ASPIRASI MASYARAKAT INDIA