Jalan baharu Rim-Asahan bakal lonjak ekonomi

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

RIM 10 Mei – Sebuah jajaran jalan baharu dari Rim ke Asahan akan dibangunkan dan dijangka mampu meningkatkan ekonomi kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, jajaran jalan baharu itu akan dibuka dari Simpang Kerayong ke Bukit Katong dan seterusnya ke sebahagian kawasan di Asahan.

Menurutnya, projek berkenaan kini berada di fasa pra pembinaan dan bakal dilaksanakan dalam masa terdekat, yang mana ia dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, menerusi jalan baharu itu ia akan memudahkan sektor logistik bagi sektor pertanian dan pada masa sama ia bakal membantu meningkatkan sosioekonomi kawasan berkenaan.

“Jadi, bila jalan itu siap, jajaran itu akan kita akan teroka untuk membangunkan pelbagai tarikan dan peluang pekerjaan kepada penduduk di Rim khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di Dewan Alamanda Jasin, baru-baru ini, yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, EXCO Kanan Pelaburan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Timbalan Speaker DUN Melaka berkata, jalan baharu itu juga dapat mengurangkan kesesakan di Pekan Jasin khususnya pada hujung minggu.

“Ia akan memudahkan pengguna jalan raya memandangkan Pekan Jasin sudah terlalu padat selain jalannya yang kecil dan tidak boleh dilebarkan lagi.

“Pada masa sama, kita juga berharap pelbagai manfaat dapat diterima warga Rim sebaik jalan itu dilaksanakan dalam masa terdekat dan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1706
Kongsi :
Previous post Lima sekeluarga terselamat kereta terbakar di Genting Highlands
Next post Ban bakal selamatkan 10,000 penduduk Lubok China daripada ancaman banjir
Ubah saiz-+=