Jalan utama Felda Selancar, Perwira Jaya di Rompin ditutup

Masa Membaca:55 Saat

KUANTAN, 1 Mac – Jalan utama Felda Selancar dan Perwira Jaya, Rompin ditutup di kedua-dua arah selepas jalan itu runtuh akibat limpahan air deras berikutan hujan lebat sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai keadaan jalan yang terletak berhampiran pondok polis bantuan itu pada 4 pagi ini.

Selain laluan berkenaan, dua lagi jalan di Rompin turut ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat dinaiki air awal pagi ini iaitu Jalan Ladang Lam Trading-Ladang Blok 16 dan laluan ke Felda Redong/Segamat di Felda Selancar 3.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Rompin menerusi kenyataan di media sosial memaklumkan penutupan jalan utama Felda selancar dan Perwira Jaya itu dibuat atas faktor keselamatan pengguna jalan raya dan orang ramai boleh menghubungi talian 09-4145040 untuk pertanyaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan daerah Rompin akan mengalami hujan sepanjang minggu ini.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Pukin di Rompin telah melebihi paras bahaya dengan bacaan 46.59 meter (m) pagi ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1801
Kongsi :
Previous post Bot Jabatan Perikanan, empat kru dipercayai hilang dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi
Next post Kongsi kandungan lucah catat aduan tertinggi diterima MCMC – Teo
Ubah saiz-+=