Bot Jabatan Perikanan, empat kru dipercayai hilang dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Sebuah bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di sini, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam tadi.

Beliau berkata bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari yang sama.

“Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan bot PENGAWAL 46 dan bot KILAT 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat pada 8 malam tadi.

“Pasukan Polis Marin turut menggerakkan tiga aset dengan lokasi pencarian tertumpu sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai berikutan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Tuas sekitar 3 petang, semalam, ” katanya menerusi, kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia, sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan mengenai bot tersebut, di perairan negara jiran.

Beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu kapal KM RAMUNIA milik Maritim dan bot PL39 milik Jabatan Perikanan Johor.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1832
Kongsi :
Previous post Johor dilanda banjir: 1,591 mangsa dipindahkan ke 21 PPS di empat daerah
Next post Jalan utama Felda Selancar, Perwira Jaya di Rompin ditutup
Ubah saiz-+=