Johor dilanda banjir: 1,591 mangsa dipindahkan ke 21 PPS di empat daerah

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Tidak sampai sebulan, Johor kembali banjir di empat daerah melibatkan pemindahan 1,591 mangsa ke 21 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi ini, susulan hujan lebat yang berterusan sejak pagi semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan enam PPS masing-masing di daerah Segamat, Kluang dan Johor Bahru selain tiga PPS di Kota Tinggi, dibuka secara berperingkat mulai 10.30 malam tadi sehingga 3.20 pagi tadi.

“Seramai 209 keluarga terjejas banjir di Segamat, 162 keluarga di Kluang, 131 keluarga di Johor Bahru dan 32 keluarga di Kota Tinggi,” kata jawatankuasa itu.

Sementara itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan sangat lebat pada tahap bahaya dijangka berterusan sehingga esok membabitkan semua 10 daerah di negeri itu.

Selain itu, beberapa sungai di Johor telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat (Segamat) yang merekodkan bacaan 38.32 meter (m); Sungai Lenik (Segamat) 13.74m; Sungai Lenik, Ladang Chaah (Segamat) 6.73m; Sungai Kahang, Kampung Contoh (Kluang) 15.49m; dan Sungai Sayong, Kampung Murni Jaya (Kulai) di paras 18.93m.

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Skudai, Kampung Separa (Kulai) 18.8m; Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu (Kulai) 12.01m; Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai (Pontian) 2.85m; Sungai Skudai, Kampung Laut (Johor Bahru) 5.6m dan Sungai Skudai, Kampung Pasir (Johor Bahru) 1.05m.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1276
Kongsi :
Previous post Amaran hujan sangat lebat tahap bahaya di empat negeri sehingga esok
Next post Bot Jabatan Perikanan, empat kru dipercayai hilang dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi
Ubah saiz-+=