Sorting by

×

JANA PENDAPATAN DARI ‘BELAKANG DAPUR’

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

REMBIA 10 September – Bermula dengan hanya ‘sekampit’ tepung kini pengusaha rempeyek Ruzana Jahar, tidak menang tangan menyiapkan tempahan diterima daripada pelanggan.

Ruzana, 46, berkata, dia mula aktif dalam pembuatan kudapan kegemaran ramai itu selepas menerima tempahan secara kecil-kecilan daripada rakan sekerja suaminya dan jiran terdekat.

Katanya, disebabkan kuih tradisi tersebut merupakan kegemaran keluarganya, dia sering menyediakan kudapan itu sebelum mula membuka tempahan pada 2018.

“Ia bermula apabila suami selalu membawa rempeyek yang dibuat ke tempat kerja untuk dijamu kepada kawan-kawan, pada awalnya tempahan diterima dalam bilangan yang kecil sahaja.

“Ketika itu rempeyek hanya dibungkus dalam plastik sahaja, kemudian dari semasa ke semasa tempahan semakin bertambah selain jiran-jiran juga mula tahu serta membuat tempahan.

“Selepas itu bertukarlah ‘karier’ saya dari tukang jahit kepada pembuat rempeyek sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui dikediamannya di Taman Awan Biru.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia bertuah kerana suaminya Kamarul Baharin Kamaruldin, 49, turut sama-sama membantunya sehingga mereka berjaya bertahan sampai kini selain dapat mengeluarkan produk baharu iaitu kuih ros.

“Alhamdulillah rezeki untuk kami sekeluarga apabila tempahan sentiasa ada termasuk pada hari biasa dan sejak setahun lalu saya mula membuat kuih ros kerana permintaan yang agak tinggi.

“Selalunya apabila musim perayaan rempeyek boleh terjual lebih 2,000 balang sehingga kami terpaksa tutup tempahan awal. Disebabkan bimbang tidak dapat penuhi permintaan saya tidak iklankan atau memuat naik di media sosial selain boleh katakan kebanyakan pelanggan adalah pelanggan tetap.

“Bagi saya kualiti dan kepuasan pelanggan adalah penting disebabkan itu kami tidak mengambil tempahan dalam skala yang terlalu banyak selain saya serta suami masih kekalkan pembuatan secara manual,” katanya.

Menurut Ruzana, selain permintaan dari dalam Melaka rempeyek hasil air tangannya juga diberitahu sudah sampai ke luar negara termasuk Singapura dan Jepun.

“Sebenarnya boleh katakan harga rempeyek yang saya jual agak murah, sejak 2018 sehingga 2024 saya kekalkan harga sama tetapi disebabkan kenaikkan kos bermula awal tahun saya naikkan RM2 bagi setiap balang.

“Disebabkan itu ramai juga pelanggan yang membeli rempeyek daripada saya kemudian mereka jual kembali dan ini secara tidak langsung dapat membantu orang lain serta berkongsi rezeki walaupun sedikit.

“Saya bersama suami ada perancangan untuk besarkan tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana untuk dapatkan kualiti dan rempeyek yang nipis seperti sekarang tidak boleh menggunakan mesin. Apa yang penting untuk kami adalah kepuasan pelanggan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

464
Kongsi :
Previous post MBMB, PKD MELAKA TENGAH PERANGI DENGGI DI KAMPUNG BACHANG
Next post BUKAN CUBAAN CULIK, HANYA SALAH FAHAM ‘REBUT PEMADAM’