‘Jangan pedulikan cerita karut mengenai vaksin’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER LIMAU 10 Jun – “Jangan pedulikan cerita karut mengenai vaksin COVID-19 kononnya sesiapa yang dapat suntikan, akan mati dua atau tiga hari selepas itu.

“Saya tidak percaya vaksin dicipta oleh ahli sains untuk membunuh manusia, sebaliknya saya yakin mereka bertungkus lumus mencipta vaksin, semata-mata untuk membantu menyelamatkan nyawa manusia,” kata Annuar Mat Sharif, 55.

Bekas pekerja pelantar minyak dan gas itu berkata, cerita sedemikian tidak seharusnya membimbangkan anggota komuniti, terutama warga emas untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

 

RAKEYAH melihat Jaafar dan Norini mendaftarkan namanya sebagai penerima vaksin COVID-19.

Sehubungan itu, hari ini, Annuar terpaksa meminta bantuan Jaafar Atan, 58, dan isteri, Norini Isha, 55, untuk mendaftarkan namanya
sebagai penerima vaksin di kediamannya di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina, di sini.

Pasangan suami isteri itu adalah antara sukarelawan dipilih Jabatan Ketua Menteri Melaka bagi membantu Program Imunisasi
COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Rakeyah Dowin, 69, berkata beliau juga ada mendengar bermacam-macam cerita menakutkan mengenai vaksin COVID-19, termasuk ada yang menyatakan kononnya selepas tiga hari menerima suntikan, orang itu mati.

RAKEYAH.

“Pada mulanya saya memang takut mendengar cerita seumpama itu tetapi selepas melihat dengan mata kepala sendiri beberapa kawan yang menerima suntikan sihat walafiat, saya bersetuju mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya.

Katanya, pada mulanya dia kurang berminat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin berikutan cerita seumpama itu kerana bimbang diserang penyakit, apatah lagi tinggal berseorangan di kediamannya di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina di sini.

“Bagaimanapun, selepas mendengar penjelasan adik bongsu saya, Mohd Noor, 58, dan Jaafar serta isterinya, hati saya terbuka untuk
mendaftar,” katanya ketika menerima kunjungan Jaafar dan Norini bagi membantunya mendaftar sebagai penerima vaksin di kediamannya.

Jaafar berkata, beliau dibekalkan oleh Klinik Kesihatan Lubok Cina dengan sistem pendaftaran secara terus melalui pengimbas kod bar bagi memudahkan pendaftaran anggota komuniti, terutama warga emas.

“Sebelum ini kami sudah mengadakan program pendaftaran vaksin untuk anggota komuniti secara beramai-ramai di sebuah kedai di
kampung ini dan ia mendapat sambutan menggalakkan.

“Kami sudah membantu mendaftarkan kira-kira 50 warga emas melalui program itu tetapi masih ada
yang perlu diberikan penjelasan mengenai kebaikan vaksin dan seterusnya membantu mereka mendaftar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

433
Kongsi :
Previous post Tawar pakej haji 2021 ketika wabak COVID-19 mungkin penipuan- Bukit Aman
Next post Waspada tawaran badal haji murah- TH
Ubah saiz-+=