Jangkitan HFMD di Melaka menurun – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

MERLIMAU 26 Mei – Kesedaran tinggi ibu bapa terhadap penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menjadi antara faktor menyumbang penurunan kes jangkitan itu di Melaka.

EXCO Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kes jangkitan HFMD di Melaka pada minggu epid (ME) ke-21 telah menurun kepada 400 kes berbanding 600 kes pada minggu sebelumnya.

“Sebanyak 96.3 peratus golongan kanak-kanak yang dikesan dijangkiti HFMD di negeri ini telah dirawat sebagai pesakit luar.

“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) menjangkakan kes itu akan menunjukkan trend penurunan pada minggu- minggu seterusnya.

“Penurunan ini merupakan satu petanda yang baik apabila melihat ramai kalangan ibu bapa yang mempunyai kesedaran tinggi untuk mencegah penyakit berjangkit ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Kejohanan Muay Thai Terbuka Merlimau di Bilik Mesyuarat, Kompleks JAPERUN DUN Merlimau, di sini hari ini.

Tambah Muhamad Akmal, semua pihak perlu memainkan peranan dalam membendung penularan penyakit HFMD itu termasuk pengusaha tadika dan taska.

“Kesedaran ibu bapa mengenai penyakit ini juga semakin tinggi selain usaha pencegahan dijalankan pelbagai pihak serta nasihat kepada pengusaha Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) selain promosi penjagaan diri telah membuahkan hasil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1157
Kongsi :
Previous post Cemas, kepala anak tersangkut di jeriji besi
Next post Bukan cacar monyet, tapi HFMD – KP Kesihatan
Ubah saiz-+=