Sorting by

×

Jasin paling sejuk di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 31 Januari – Stesen Auksiliari Devon, Jasin merekodkan bacaan suhu paling rendah 22.9 darjah celsius di negeri ini setakat jam 10 pagi tadi.

Pengarah Pejabat Meteorologi Melaka, Muhammad Hafiz Kasim berkata, suhu dingin itu bagaimanapun dirasai hampir di kesemua daerah di Negeri Melaka.

“Kebanyakkan lokasi di Melaka mencatat julat suhu antara 23 hingga 27 darjah celsius.

“Namun begitu suhu paling rendah telah direkod di Stesen Auksiliari Devon, Jasin iaitu 22.9 yang direkodkan pada jam 10 pagi tadi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

photo1675147096
Kelihatan peniaga tidur lena pada jam 12 tengah hari dengan bacaan suhu serendah 28 darjah celsius di Pantai Klebang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, beliau berkata, julat suhu maksimum yang dicatat di Melaka pada 24 hingga 30 Januari lalu adalah pada bacaan sekitar 24.3 sehingga 31.2 darjah celcius.

Jelasnya, cuaca dingin yang berlaku ini hanyalah bersifat sementara dan kebiasaannya berlaku pada awal tahun semasa Monsun Timur Laut.

Justeru, ujarnya orang ramai tidak perlu bimbang, sebaliknya harus bersyukur menikmati cuaca yang agak dingin dan nyaman ini.

“Keadaan cuaca sebegini hanya sementara dan peluang untuk berlaku hanya di awal tahun semasa Monsun Timur Laut.

“Namun begitu orang awam perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui pelbagai medium sebaran rasmi MET Malaysia iaitu laman web, media sosial dan aplikasi mobil myCuaca,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

12499
Kongsi :
Previous post Bergaduh rebut kenderaan tunda, sembilan ‘longkai’ ditahan
Next post Tergamam lihat gerai belacan, cencaluk dirempuh kereta
Ubah saiz-+=