Tergamam lihat gerai belacan, cencaluk dirempuh kereta

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KLEBANG 31 Januari – Dua beranak cedera selepas gerai belacan dan cencaluk di Kampung Pinang, Lereh, di sini, dirempuh sebuah kereta, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, Junaidah Maarof, 45 dan anak perempuannya berusia 23 tahun cedera di bahagian kepala dan kaki akibat rempuhan kuat itu.

Menurut pemilik gerai berkenaan yang juga suami Junaidah, Abu Bakar Abd Aziz, 56, kejadian itu berlaku begitu pantas yang mana ketika itu dia berada di bahagian kaki lima kedai.

“Ketika itu kami sedang berbual dan tiba-tiba sahaja rasa bergegar disusuli bunyi dentuman kuat.

“Pada waktu itu saya tergamam seketika dan terus bergegas melihat keadaan isteri dan anak yang tersepit di bahagian rak jualan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Abu Bakar, dia mengambil masa kira-kira 15 minit untuk membawa keluar isterinya daripada celahan rak tersebut.

Katanya, isteri dan anaknya yang cedera kemudiannya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Sampai sekarang saya masih terkejut. Tidak dapat bayangkan jika saya berada sedikit di depan, sudah pasti saya juga turut dirempuh,” katanya.

Abu Bakar yang sudah 20 tahun berniaga di kawasan itu berkata, ia merupakan kejadian pertama berlaku kepadanya dan peniaga sekitar.

Katanya, selain premis dan barangan jualan rosak, dua buah motosikal milik keluarganya turut dirempuh kereta berkenaan.

“Saya buntu melihat barangan jualan yang baru ditambah stok kelmarin seperti cencaluk dan budu habis pecah, manakala belacan dan kerepek turut rosak akibat kejadian itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3181
Kongsi :
Previous post Jasin paling sejuk di Melaka
Next post Bukit Serindit jadi medan pelapis hoki berentap
Ubah saiz-+=