Jata Istana Negara ‘Made in Melaka’

Masa Membaca:3 Minit, 46 Saat

REMBIA 6 Januari – Diberi kepercayaan menyiapkan ukiran Jata Istana Negara dianggap sebagai satu pengiktirafan bagi Pengurus Syarikat Legasi Seni Ukir, Rosdi Soperi.

Rosdi yang aktif dalam seni pertukangan halus itu sejak 2011 berkata, tempahan untuk menyiapkan empat jata yang akan diletakkan di Pintu Gerbang Istana Negara, Kuala Lumpur adalah satu pencapaian membanggakan buat dirinya.

Dia yang berkarya di bengkel Bangunan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Kelemak, Alor Gajah, berkata tempahan yang diterima kali ini umpama durian runtuh buat dirinya dan empat rakan yang lain.

“Pada September lalu, pihak Istana Negara ada menghubungi saya menanyakan permintaan untuk mengukir jata itu dan saya tidak lepaskan peluang, terus bersetuju.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini kerana akhirnya anak tempatan yang berkhidmat di Melaka mampu memenuhi permintaan istana kerana difahamkan sebelum ini ukiran yang ada kebiasaannya ditempah dari Indonesia,” katanya.

DARI KAYU KEPADA EMAS

Empat Jata Istana diukir pada kayu getah berukuran diameter 750 milimeter memerlukan tumpuan mendalam bagi memastikan corak dimahukan adalah menepati falsafah kesenian dan kehalusannya.

Rosdi yang juga merupakan penerima Anugerah Tokoh Seni Ukiran Kayu Melaka berkata, beberapa kaedah perlu ditepati bagi menyiapkan tempahan itu yang dijadualkan mengambil masa lebih kurang empat bulan.

photo1672904117 (1)
ROSDI teliti dalam menyiapkan ukiran yang ditempah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ujarnya, ukiran jata itu perlu disiapkan sebelum 20 Januari dengan memastikan jata yang diukir menggunakan kayu diolah dan perlu dilapiskan dengan kepingan emas sepenuhnya.

“Pada proses awalnya, kita akan menerima salinan reka bentuk asal jata daripada pihak Istana Negara dan ia perlu diolahkan mengikut saiz yang dikehendaki menggunakan komputer mengambil masa lebih kurang seminggu.

“Selepas itu kaedah tekapan akan dilaksanakan bagi memastikan skala yang ditetapkan itu tepat untuk dilukis atas permukaan kayu yang kita sediakan.

“Semasa proses mengukir ini memerlukan tumpuan yang mendalam dan sekurang-kurangnya mengambil masa lebih seminggu untuk menyiapkan satu jata sahaja dan kemudiannya apabila telah siap sepenuhnya proses membersihkan habuk kayu pada jata akan dilaksanakan.

“Pada pengakhirannya, kita akan lapiskan dengan kepingan emas disetiap sudut jata, bukannya disembur dengan cat emas, kaedah ini agak ‘mahal’ kerana kita memerlukan tempahan khas daripada pembekal,” katanya.

Tambahnya, selepas disiapkan tempahan akan dihantar ke Istana Negara sebelum dipasang kontraktor dilantik.

TERIMA TEMPAHAN PEMBESAR

Ternyata, seni yang dihasilkan anak jati Kedah ini bukannya satu perkara yang perlu dipandang rendah berikutan industri yang diceburinya sejak 2004 pernah menerima tempahan dalam kalangan pembesar beberapa negeri lain.

Jelasnya, lima tahun lalu sebanyak 30 bilah ukiran tombak disiapkannya setelah menerima tempahan daripada Kerajaan Negeri untuk diletakkan di Istana Melaka.

“Kita juga ada menerima upah mengukir di Bangunan Parlimen, Bangunan Sultan Abdul Samad dan pelbagai lagi hampir di seluruh negara. Antara tempahan yang pernah diterima adalah ukiran keris dan ukiran daun keladi.

photo1672904209
SEBAHAGIAN produk ukiran seni kayu yang mendapat permintaan tinggi dari pelanggan di Bangunan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Alor Gajah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, industri yang dijalankannya kini lebih memfokuskan kepada ukiran mimbar masjid dan meja kuliah yang turut menerima tempahan dari seluruh negara.

“Bagi Melaka lebih 50 meja kuliah telah dihantar ke surau dan masjid, malah ada juga beberapa masjid di negeri ini turut menempah mimbar khutbah.

“Tempahan ini dikatakan diterima dari seluruh negara termasuk Sarawak namun bagi di sebelah Pantai Timur saya menyerahkan tempahan ini kepada rakan di sebelah sana agar kita sama-sama berkongsi rezeki,” katanya.

SENI KRAFTANGAN PERLU DIMARTABATKAN

Beliau berpendirian seni kraftangan yang ada di negara ini perlu dimartabatkan bagi memastikan anak muda dapat mendukung hasrat agar seni warisan Melayu tidak terus dilupakan pada masa akan datang.

photo1672904478
PEKERJA Syarikat Legasi Seni Ukir menyiapkan tempahan produk yang ditempah pelanggan di Bangunan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Melaka, Alor Gajah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dia berpegang kepada pepatah ‘yang lama dikelek, yang baharu didukung’ mengharapkan lebih banyak pihak memainkan peranan agar usaha melestarikan kesenian Melayu dapat dipraktikkan setanding dengan arus semasa.

“Hari ini saya berpendapat hanya belasan sahaja anak muda menceburi bidang ini kerana jika ada pun mereka hanya melenturkan minat dalam tempoh singkat sahaja, selepas itu hilang.

“Anak muda kini banyak yang didedahkan dengan teknologi berpendirian ingin mendapat keuntungan dalam masa singkat. Tetapi seni ini memerlukan usaha gigih untuk maju kehadapan.

“Saya bersedia untuk membuka peluang ini kepada anak muda di luar sana untuk menuntuk ilmu asas ukiran kayu ini agar ia dapat di kekalkan seperti mana yang saya laksanakan ada juga beberapa yang datang bertemu saya menuntut ilmu yang ada,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3717
Kongsi :
Previous post Sektor pertanian, agromakanan rugi RM111.95 juta akibat banjir
Next post Tentera maut digilis 4×4 selepas langgar anjing
Ubah saiz-+=