Jejak Du’afa Ramadan dekati 1,000 asnaf

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TANGGA BATU 26 Mac – Tiada habuan dipinta sebaliknya hanya niat untuk mengejar saham akhirat menjadi objektif pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Global Peace Malaysia (GPM) Melaka membantu golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

Pengarahnya, Mohd Fairus Ahmad berkata, biarpun penubuhan NGO itu baru menjangkau tujuh tahun, namun setakat ini sebanyak lebih 800 keluarga kurang berkemampuan telah dibantu.

Katanya, ia menerusi beberapa program ‘turun padang’ menjejaki keluarga terjejas khususnya pada Ramadan yang dianggap sebagai bulan paling barakah untuk bersedekah.

“Bermula dari tahun 2016, isu kemiskinan ini kami perjuangkan saban tahun tanpa henti bukan sahaja mendekati keluarga ini tetapi cuba belajar memahami realiti kehidupan mereka.

“Selain menyerahkan bantuan makanan, kami akan mengenalpasti keperluan-keperluan mendesak seperti bantuan persekolahan, peralatan kesihatan yang perlu diberi perhatian segera.

“Ramadan lepas kami berjaya menjejaki 660 keluarga, kali ini kami menyasarkan 1,000 keluarga asnaf dengan dana diperlukan RM150,000,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

IMG-20230325-WA0013
DR Azlan bersama Fairus memantau keadaan kesihatan Suleiman yang sudah berusia 98 tahun di sebuah kediaman Rambai Tengah, baru-baru ini.

Sementara itu, Bendahari GPM Melaka yang juga Pegawai Perubatan Pentadbir di Klinik Kesihatan Bukit Rambai, Dr. Mohd Azlan Mohd Arif berkata, misi kebajikan itu antara lain menemukan beberapa kes terpencil untuk rawatan susulan di premis kesihatan.

“Misalnya dalam program Ziarah Kasih Ibnu Sina ini, sebenarnya ada antara kita memerlukan rawatan cuma mereka berdiam diri sebab tak tahu bagaimana nak keluar daripada masalah itu.

“Kerana itu kami bersifat ‘neutral’ dan cuba bantu mereka beserta peralatan seperti tongkat, kerusi tandas (commode chair), glukometer, stoma bag dan lain-lain bergantung kepada permohonan.

“Misi ini bukan untuk mereka tetapi untuk kita menginsafi diri sendiri dengan cara kita mensyukuri apa yang Allah sudah kurniakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1704
Kongsi :
Previous post Melaka sasar kutipan zakat fitrah RM5.8 juta
Next post Aroma pekasam goreng ‘menusuk’ di Pasar Ramadan Masjid Tanah
Ubah saiz-+=