Aroma pekasam goreng ‘menusuk’ di Pasar Ramadan Masjid Tanah

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

MASJID TANAH 25 Mac- Penangan pekasam goreng ditumis bersama bertih beras, bawang dan cili padi ternyata mencuri tumpuan orang ramai apabila aroma memikat itu bermain di ruang udara Pasar Ramadan Masjid Tanah.

Menggunakan citarasa olahan resipi keluarga daripada negeri Jelapang Padi, Mohd Nazri Md Isa, 40 dan isteri Ummi Habibah Mohd Ribi, 37 tidak menang tangan apabila berjaya menambat hati pengunjung yang bertandang di pasar itu.

Hampir tiga tahun mengusahakan perniagaan pekasam dan ikan jeruk ternyata membuahkan kelainan berikutan aroma semerbak itu mampu memenangkan hati umat Islam selepas berpuasa seharian untuk membeli juadah itu sebagai pengikat selera berbuka puasa.

Menceritakan pengalamannya yang mati kutu akibat dibuang kerja sebagai mekanik bas di negeri kelahirannya ketika pandemik COVID-19, Nazri mula menjadikan Melaka sebagai ‘rumah keduanya’ untuk mencari nafkah demi membesarkan empat orang anak dan isteri.

“Saya berniaga kali ini juga untuk meneruskan warisan arwah adik yang sebelum ini merupakan seorang polis tentera dengan menjadikan perniagaan menjual air balang sebagai pendapatan sampingannya.

“Arwah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sempat menasihati saya sebulan sebelum dia pergi, saya kena belajar sendiri membuat pekasam dan menjualnya di negeri ini.

“Saya ketika itu buntu akibat tiada pekerjaan lalu terus berusaha mendapatkan ilmu daripada keluarga dan beberapa pengusaha pekasam di negeri ini untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

5FC26EF8-BA65-46BE-877D-1A9385E074FE
JUALAN Nazri dan isteri berjaya menambat hati pengunjung yang datang ke pasar itu.

Kegigihan pasangan itu yang kini menetap di Kampung Seri Tanjung ternyata mampu mengembangkan perniagaannya dan kini pasangan itu menjual pekasam yang dipek menggunakan jenama Pekasam Umi di beberapa pasar tani sekitar Sungai Udang dan Alor Gajah pada hari biasa.

Menurutnya, tekstur pekasam di selatan tanah air amat berbeza berbanding di negeri kelahirannya di Kedah kerana pekasam yang kebiasaan dijual di negeri ini adalah pekasam kering yang dijeruk bersama bertih beras.

“Kalau di Kedah memang lain bentuk pekasamnya kerana kebanyakannya di’jeruk’ dalam cecair dan apabila digoreng ia akan hancur.

“Ketika Ramadan kami ubah konsep perniagaan dengan menggoreng terus pekasam untuk dijual kepada orang ramai, Alhamdulillah memasuki hari ketiga ini sekitar 30 hingga 40 ekor ikan mampu dihabiskan dalam sehari.

“Ikan yang saya terima dibeli daripada kaki pancing dan penjala sawah di sekitar negeri malah kita tidak menggunakan ikan yang dibela dari kolam.

“Antara ikan pekasam yang dijual adalah ikan talapia, lampam, puyu dan sepat dijual dengan harga RM5 hingga RM10 seekor,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2739
Kongsi :
Previous post Jejak Du’afa Ramadan dekati 1,000 asnaf
Next post Pemandu maut, kereta bertembung lori
Ubah saiz-+=