Pemandu maut, kereta bertembung lori

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

ALOR GAJAH 26 Mac – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 5 petang itu, S Kiran Raj, 21 yang menandu Perodua Myvi maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 50 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Pulau Sebang menghala ke Gadek manakala lori tanpa muatan terbabit dalam perjalanan dari arah bertentangan iaitu dari Gadek menghala ke Pulau Sebang.

Katanya, setiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki arah bertentangan dan bertembung dengan lori tersebut.

“Akibat rempuhan itu, pemandu kereta parah di kepala dan kaki sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.

“Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Arshad, susulan kejadian itu, pemandu lori diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati jalan berkenaan satu lorong dua hala dengan garisan berkembar serta berselekoh dan berbukit selain ketika kejadian keadaan hujan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5240
Kongsi :
Previous post Aroma pekasam goreng ‘menusuk’ di Pasar Ramadan Masjid Tanah
Next post 179 mangsa banjir dipindahkan ke empat PPS di Larut Matang dan Selama
Ubah saiz-+=