Jenazah dua beradik maut kemalangan di Kahang selamat dikebumikan
KLUANG, 23 Januari – Jenazah dua beradik lelaki yang merupakan antara enam yang maut dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang, semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Layang-Layang, di sini, pagi ini.
Jenazah Muhammad Zharfan Noramin, 16, dan adiknya Muhammad Syakir Noramin, 11, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad sekitar pukul 10.40 pagi tadi.
Terdahulu, kedua-dua jenazah dibawa ke Masjid Kampung Paya di sini sebelum disembahyangkan sebelum dibawa ke tanah perkuburan kira-kira satu kilometer dari masjid untuk disemadikan.
Bapa dua beradik itu, Noramin Daud kelihatan masih sugul, menangis dan tidak bermaya tatkala jenazah anak sulung dan anak ketiganya selamat dikebumikan.
Turut meninggal dunia adik beradik Siti Nurzannah Kahdar, 26, dan Masrina Kahdar, 21, serta Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22, dan Mohd Ashraf Rafiq Mohd Arifin, 11.
Semalam, dilaporkan enam maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta iaitu Perodua Myvi dan Honda Stream di Kilometer 71, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang.
Perodua Myvi yang membawa lapan orang itu dipercayai dalam perjalanan dari Kluang ke Kahang untuk berkelah di Pantai Air Papan, Mersing, sebelum kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan dan bertembung kereta Honda Stream di lokasi berkenaan pada pukul 4.40 petang.
Selain itu, pemandu dan penumpang kereta Honda Stream yang merupakan pasangan suami isteri Zulkeflly Zakariah, 53, dan Kamariah Yusof, 48, serta anak mereka Ariana Nur Batrisyah Zulkeflly, 13, mengalami kecederaan dalam kemalangan tersebut.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.