JENDELA landasan menuju Melaka Digital

0
490
Pengarah SKMM Melaka, Muhammad Luqman Ali

MISI memperhebat Melaka sebagai negeri digital adalah agenda yang berketepatan seiring dengan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dilancarkan tahun lalu.

Menerusi inisiatif itu pelbagai langkah diambil serius SKMM bagi merealisasikan hasrat itu terutama dalam penggayaan norma baharu sepanjang tempoh pasca penularan pandemik COVID-19.

Muhammad Luqman Ali berkata, terdapat beberapa fasa telah direncana pihaknya bagi memperkasa penggunaan jaringan internet di negeri ini menerusi pelan JENDELA.

Jelasnya, pada fasa pertama dalam tempoh 2020 hingga 2023 lebih menjurus kepada memperluas rangkaian teknologi 4G secara menyeluruh di negeri ini dengan memastikan rangkaian yang stabil dengan liputan meluas sehingga ke kawasan luar bandar.

“Bagi fasa pertama kita akan memastikan lebih banyak premis di Melaka akan menerima liputan 4G dengan lebih meluas termasuk mempertingkatkan kelajuan penggunaan jalur lebar dan gentian optik bagi memastikan internet berkelajuan tinggi mampu diakses oleh semua pengguna.

“Selepas fasa pertama ini, ia adalah sebagai proses transisi dari penggunaan 4G kepada 5G dalam tempoh 2022 hingga 2025.

“Bagaimanapun kita tidak mahu tergesa-gesa bagi melaksanakan inisiatif ini…apa yang penting adalah misi bagi memastikan liputan 4G mampu digunakan menyeluruh dan stabil di seluruh pelosok negeri,” katanya.

Muhammad Luqman berkata, penggunaan 5G dengan menyeluruh secara drastik bukan pendekatan holistik sekiranya rangkaian pengunaan 4G tidak mampu dicapai menyeluruh di negeri ini.

“Maka, kawasan-kawasan yang tidak menerima rangkaian 4G ini akan ketinggalan sekiranya 5G dilaksanakan secara drastik.

“Jadi kita mahu laksanakannya secara berperingkat dengan yang paling utama adalah meningkatkan mutu kelajuan internet dan liputan menyeluruh di negeri ini.

“Penggunaan 5G pada fasa kedua nanti pula adalah pada permulaannya ia sebagai sebuah pendekatan bagi menyokong Revolusi Industri (IR 4.0) yang mana ketika itu pelbagai penggunaan aplikasi pintar, Internet Pelbagai Benda (IoT) serta pelbagai lagi dapat dicapai dan mampu digunakan,” katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan sistem telekomunikasi dijadikan sebagai utiliti ketiga dalam pembangunan infrastruktur di negeri ini.

Jelasnya, hasrat itu seiring dalam Majlis Digital Negeri Melaka (MELDiC) yang akan meletakkan garis panduan sistem telekomunikasi sebagai utiliti ketiga terutama dalam rancangan pembangunan kawasan perumahan baharu di Melaka.

“Peranan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah sangat kritikal dalam memastikan kelulusan dapat dipercepatkan agar hasrat menjadikan telekomunikasi sebagai utiliti ketiga menjadi kenyataan.

“Pada masa yang sama, kepantasan kerajaan negeri dan PBT dalam meluluskan permohonan akan memberi impak positif kepada kemasukan lebih banyak pelaburan oleh syarikat telekomunikasi sekali gus mencetuskan spill-over effect kepada pembangunan sesebuah lokasi atau negeri.

“Dengan kerjasama yang diberikan, proses pembinaan infrastruktur dan meletakkan asas kepada transisi ke arah 5G dapat dipercepatkan,”katanya.

ARTIKEL BERKAITAN :

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.