Sorting by

×

JKDM Melaka rampas RM23 juta pelbagai barangan termasuk rokok seludup

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka mematahkan sindiket penyeludupan pelbagai barangan bernilai RM23 juta termasuk cukai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengarah Kastam negeri, Norlela Ismail berkata, jumlah rampasan itu membabitkan 101 kes dengan penahanan 30 individu,

Katanya, antara rampasan terbesar jabatan itu membabitkan cubaan seludup rokok putih membabitkan sebuah lori kontena di Pelabuhan Klang yang mengandungi 10.5 juta batang rokok dianggarkan bernilai RM7.85 juta termasuk cukai dalam serbuan 10 pagi, 17 Februari lalu.

“Kes ini merupakan kontena transit dari Dubai ke Papua New Guinea dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) kerana pengikraran dagangan lain.

“Sindiket penyeludupan itu mengikrar dagangan tersebut sebagai perabot sebelum pemeriksaan fizikal mendapati sebahagian kecil sahaja diletakkan kotak perabot manakala sebahagian besar dagangan adalah rokok putih,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam, di sini, hari ini.

ANTARA rokok putih yang dirampas. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut mematahkan kegiatan penyeludupan membabitkan tiga lori bermuatan rokok seludup pelbagai jenama berjumlah 3.38 juta batang rokok bernilai RM2.52 juta termasuk cukai yang diletakkan di tepi jalan di Ijok, Selangor pada jam 10 pagi 6 Jun lalu.

“Ketika serbuan dijalankan, pemandu lori berjaya melarikan diri dan hasil siasatan mendapati rokok berkenaan diseludup masuk melalui jalan laut sebelum dipindahkan melalui jalan darat menggunakan lori bagi pasaran Lembah Klang.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,”katanya.

Dalam pada itu, Norlela berkata orang ramai digesa untuk menyalurkan maklumat bagi memerangi jenayah penyeludupan terutama membabitkan rokok, minuman keras dan mercun serta dadah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1925
Kongsi :
Previous post Empat senapang, pistol angin beli ‘online’ dirampas
Next post Nahas: Bayi enam bulan maut tercampak keluar dari kereta
Ubah saiz-+=