Sorting by

×

Empat senapang, pistol angin beli ‘online’ dirampas

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 2 Ogos – Tindakan seorang lelaki yang menyimpan dua senapang angin dan dua pistol angin untuk koleksi peribadi memakan diri apabila senjata api itu dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka dua bulan lalu.

Pengarah Kastam negeri, Norlela Ismail berkata, hasil risikan dan maklumat daripada sebuah syarikat kurier, pihaknya menahan lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kontraktor itu di tempat letak kereta sebuah hotel di sini dalam serbuan pada jam 10 pagi, 8 Jun lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan menemukan dua senapang angin jenis ‘Precision Airgun’ dan satu laras ‘BB Riffle’ serta sepucuk ‘Air Pistol’ dan tiga tin peluru.

“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai permit memiliki senjata api dan serbuan susulan ke sebuah rumah milik lelaki terbabit di Bemban menemukan satu lagi ‘Air Pistol’.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit mendakwa membuat pembelian senjata berkenaan secara atas talian dari Sepanyol untuk dijadikan koleksi sejak setahun lalu.

“Lelaki terbabit menggunakan alamat syarikat perkhidmatan kurier tersebut sebagai penerima sebelum bungkusan itu dihantar secara selamat ke destinasi diminta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Kastam, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka, Norlela Ismail. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, beliau berkata semua rampasan senjata angin itu dibeli dengan harga keseluruhannya bernilai kira-kira 400 euro atau RM1,800 dan lelaki terbabit mengikrar senjata itu sebagai barangan logam.

“Senjata api itu diklasifikasi sebagai dagangan larangan di bawah Butiran 48, Jadual Ketiga/Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2022.

“Berikutan itu kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7309
Kongsi :
Previous post Nahas pesawat ringan: CAAM mulakan siasatan
Next post JKDM Melaka rampas RM23 juta pelbagai barangan termasuk rokok seludup
Ubah saiz-+=