Nahas pesawat ringan: CAAM mulakan siasatan

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

IPOH, 2 Ogos – Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mula menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden pesawat ringan yang terhempas di Jalan Dr Nazrin Shah, Sungai Rokam, Medan Gopeng di sini, malam tadi.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya membantu melakukan pengawasan sejak malam tadi di sekitar kawasan insiden bagi mengelakkan kawasan itu dicerobohi oleh mana-mana pihak.

“Pihak CAAM jalankan siasatan sejak pagi tadi dan pihak polis melakukan kawalan di kawasan kejadian bagi memberi ruang kepada CAAM untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan 30 bot penyelamat bernilai RM400,000 oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Mes Pegawai Kanan Polis di sini hari ini.

Dalam insiden kira-kira 8 malam itu, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor maut manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur cedera.

Kedua-dua jurulatih penerbangan itu dilaporkan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran sebelum kejadian tersebut.

Dalam pada itu, Mior Faridalathrash berkata Muhammad Din Fikri yang sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa masih lagi dirawat dan berita mengenai mangsa telah meninggal dunia adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Saarani pada sidang media sama berkata Jabatan Penerbangan Awam (DCA) perlu melihat semula langkah-langkah keselamatan yang perlu diperketatkan semasa sesuatu penerbangan itu dilakukan bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

“Ini kerana pesawat terhempas di kawasan tumpuan orang ramai, jadi pihak DCA barang kali ada kaedah tertentu untuk mengelaknya daripada berulang,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1278
Kongsi :
Previous post Kertas siasatan kes rogol babitkan penceramah bebas diserah kepada pendakwa raya
Next post Empat senapang, pistol angin beli ‘online’ dirampas
Ubah saiz-+=