SEKOLAH DI MELAKA DIBUKA SEMULA ESOK, AKTIVITI LUAR BILIK DARJAH DIHENTIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Melaka akan beroperasi semula esok (15 Oktober), tertakluk kepada pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung perkembangan terkini bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, keputusan itu mengambil kira perkembangan kualiti udara semasa dengan aspek keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan terus menjadi keutamaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), perhimpunan serta kegiatan kokurikulum perlu dihentikan serta-merta bagi mengurangkan pendedahan murid kepada pencemaran udara.

“Keselamatan dan kesihatan murid serta warga sekolah perlu diberikan keutamaan. Walaupun institusi pendidikan dibuka semula, aktiviti luar bilik darjah perlu dihentikan sehingga dimaklumkan sebaliknya.

“Murid juga digalakkan memakai pelitup muka dan minum air dengan kerap sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pihak pentadbiran institusi pendidikan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi masing-masing selain mematuhi arahan dan garis panduan semasa yang ditetapkan KPM serta pihak berkuasa berkaitan.

Rahmad turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau tahap kesihatan anak-anak serta mendapatkan rawatan sekiranya mereka mengalami gejala yang berkaitan dengan pencemaran udara.

“Kerjasama ibu bapa dan penjaga amat penting bagi memastikan sebarang perubahan tahap kesihatan anak-anak dapat dikenal pasti dengan segera dan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.

Sementara itu, sebarang perubahan arahan berhubung pengoperasian institusi pendidikan di Melaka akan dimaklumkan melalui laman Facebook rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPN Melaka).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

758
Kongsi :
Previous post BMS 2026: PTPTN MELAKA SEMAI BUDAYA TABUNGAN PENDIDIKAN SEJAK KECIL
Next post MeSRa PENDIDIKAN: SEKOLAH LEBIH SELESA, PEMBELAJARAN LEBIH BERMAKNA