
MeSRa PENDIDIKAN: SEKOLAH LEBIH SELESA, PEMBELAJARAN LEBIH BERMAKNA
AYER KEROH 14 Oktober – Keperluan pendidikan yang berkembang seiring pertambahan penduduk mendorong Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembinaan sekolah baharu, penambahan kemudahan pembelajaran serta penyelenggaraan institusi pendidikan menerusi inisiatif MeSRa Pendidikan.
Usaha itu merangkumi pembangunan sekolah kebangsaan, sekolah menengah dan institusi pendidikan agama bagi memperluas kapasiti pembelajaran, terutama di kawasan yang mengalami pertumbuhan perumahan dan peningkatan jumlah murid.
Pada masa sama, kerja penyelenggaraan serta naik taraf institusi sedia ada turut diberi perhatian bagi memastikan kemudahan pendidikan terus memenuhi keperluan murid dan warga sekolah.
RM6.87 JUTA NAIK TARAF 134 INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM
Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM6.87 juta bagi kerja menaik taraf dan menambah baik kemudahan di 134 institusi pendidikan Islam di seluruh Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kelulusan itu merupakan hasil usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan keperluan institusi pendidikan Islam kepada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, peruntukan berkenaan penting untuk memperkukuh kemudahan pembelajaran serta menyokong pembangunan pendidikan generasi muda dan pemerkasaan pendidikan Islam di negeri ini.
Selain itu, peruntukan RM7.41 juta menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut diluluskan bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf 149 SRA JAIM di seluruh Melaka.
Antara kemudahan yang menerima perhatian ialah tapak perhimpunan berbumbung di SRA JAIM Al-Qusyairi, Kampung Tersusun, Bukit Larang, yang melibatkan kos RM50,000.
Selain itu, sejumlah RM6,489,501.10 telah diperuntukkan bagi pembinaan dan naik taraf SRA JAIM serta Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Ia melibatkan pembinaan baharu 6 SRA JAIM, satu Sekolah Menengah Tahfiz dan satu kolej agama.
Manakala dalam sudut penyelenggaraan dan pembaikan ia membabitkan 86 SRA JAIM, 48 tadika JAIM dan 35 SABK.
Pada masa sama, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pula menyalurkan bantuan tahunan daripada peruntukan asnaf fi sabilillah kepada institusi pendidikan agama, termasuk SABK rendah dan menengah serta tadika JAIM, dengan jumlah keseluruhan hampir RM4 juta setahun.
SEKOLAH BAHARU TANGANI KEPADATAN MURID
Di kawasan yang mengalami pertumbuhan penduduk pesat, pembinaan sekolah baharu menjadi antara langkah bagi menampung keperluan pendidikan dan mengurangkan tekanan terhadap kapasiti sekolah sedia ada.
Di DUN Paya Rumput, beberapa projek sekolah baharu dikenal pasti bagi memenuhi keperluan penduduk susulan pertambahan kawasan perumahan.
Antara kemudahan yang sudah siap dibina dan beroperasi ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong 2 serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong.
SK Krubong 2 umpamanya telah memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 murid, sekali gus membantu mengurangkan tekanan terhadap kapasiti sekolah sedia ada di kawasan Krubong dan sekitarnya.
Sementara itu, SMK Tanjung Minyak dan SRA JAIM Tampoi disenaraikan sebagai projek yang sedang dalam pembinaan, manakala bangunan baharu SK Paya Rumput dirancang dengan kos tambahan RM26 juta.
SMK SERI DUYONG DEKATKAN AKSES PENDIDIKAN
Di DUN Duyong, pembukaan SMK Seri Duyong pada 7 Oktober 2024 menyediakan akses pendidikan menengah yang lebih dekat kepada penduduk sekitar, dengan anggaran manfaat kepada 700 pelajar.
Sebelum sekolah itu dibuka, sebahagian pelajar di kawasan Lembah Duyong perlu bersekolah di lokasi lain, termasuk SMK Seri Kota, SMK Bukit Katil, SMK Padang Temu dan SMK Ayer Molek.
Pembukaan sekolah berkenaan membantu menyediakan pilihan lebih dekat kepada keluarga setempat, di samping mengurangkan keperluan perjalanan ke sekolah yang lebih jauh bagi pelajar terbabit.
Perkembangan itu menunjukkan kepentingan perancangan kemudahan pendidikan yang mengambil kira taburan penduduk, akses perjalanan dan keperluan sebenar komuniti.
PEMBANGUNAN SEKOLAH SEIRING PERTUMBUHAN PENDUDUK
Secara keseluruhan, pelaksanaan MeSRa Pendidikan memberi tumpuan kepada dua keperluan utama, iaitu memperluas kapasiti melalui pembinaan institusi baharu dan memastikan sekolah sedia ada terus dilengkapi kemudahan yang bersesuaian.
Pembinaan sekolah baharu membantu memperluas akses pendidikan dan mengurangkan tekanan terhadap kapasiti sekolah, manakala kerja penyelenggaraan serta naik taraf memastikan kemudahan sedia ada dapat digunakan dengan baik.
Kerjasama Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan agensi pendidikan turut memainkan peranan dalam memastikan perancangan, pembiayaan serta pelaksanaan projek mengambil kira keperluan penduduk setempat.
Menerusi pembangunan infrastruktur yang dirancang berdasarkan keperluan komuniti, usaha memperkukuh pendidikan di Melaka diharap dapat menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta menyokong perkembangan generasi akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

