
BUKAN SEKADAR MAHIR, USAHAWAN MELAKA BAKAL DILATIH KUASAI DIGITAL DAN AI
AYER KEROH 14 Oktober – Usahawan berkemahiran di Melaka bakal diberi peluang memperkukuh keupayaan pemasaran dan pengurusan perniagaan menerusi perancangan peluasan latihan keusahawanan, pemasaran digital serta kecerdasan buatan (AI) di bawah Melaka Centre of Excellence (MCOE).
Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, usaha itu bertujuan memastikan peserta latihan, khususnya daripada komuniti, bukan sahaja mahir menghasilkan produk, malah mampu memasarkan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.
Katanya, MCOE dirancang memberi tumpuan lebih luas kepada pembangunan keusahawanan, kemahiran digital dan AI bagi membantu peserta meningkatkan daya saing dalam pasaran.
“Melaka Centre of Excellence juga akan memberikan tumpuan kepada sektor keusahawanan, digital dan AI.
“Kita akan membuka lebih banyak kursus untuk melatih mereka menjadi usahawan yang lebih berjaya, manakala menerusi segmen digital, mereka akan belajar cara memasarkan produk dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Teori Asas Pembuatan Beg Paku di Dewan Yayasan Belia Sedunia (WYF), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung WYF, Datuk Dr. Norsabrina Mohd Noor dan Penolong Pengurus TVET Negeri Melaka, Nurliana Zulbahri.
Mengulas lanjut, Khaidhirah berkata, masih terdapat individu yang memiliki kemahiran menghasilkan produk berkualiti tetapi berdepan kesukaran mengembangkan perniagaan kerana kurang pengetahuan dalam pemasaran dan pengurusan.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan potensi kemahiran yang dimiliki tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus mengehadkan peluang produk tempatan menembusi pasaran lebih luas.
“Kadang-kadang kemahiran mereka bagus tetapi mereka tidak tahu bagaimana untuk memasarkan kemahiran mereka itu. Jadi, agak rugi kalau di situ sahaja,” katanya.
Justeru, beliau menegaskan latihan kemahiran perlu disusuli bimbingan berterusan supaya peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh untuk menjana pendapatan dan membangunkan perniagaan yang lebih berdaya saing.
Menurutnya, kerjasama dengan pelbagai institusi serta pihak swasta dalam pelaksanaan latihan kemahiran komuniti turut membuka ruang kepada peserta untuk mengasah potensi diri dan meneroka peluang keusahawanan.
“Kita mengharapkan latihan daripada segmen komuniti ini mampu membentuk mereka menjadi usahawan yang lebih berjaya serta mempunyai kemahiran yang mungkin unik,” katanya.
Beliau berkata, keunikan produk dan kemahiran yang ditawarkan perlu dimanfaatkan sebagai nilai jualan tersendiri atau Unique Selling Point (USP) bagi membezakan produk tempatan daripada pesaing serta menarik perhatian pelanggan.
Sehubungan itu, peluasan latihan keusahawanan dan pemasaran digital menerusi MCOE diharap dapat membantu peserta meningkatkan nilai komersial produk, memperluas capaian pelanggan serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
“Kita tidak akan terhenti di sini, maka kita berharap mereka juga tidak hanya terhenti di sini sahaja,” katanya.
Pada 9 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat turut mengetengahkan MCOE sebagai antara inisiatif pembangunan bakat dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di Melaka.
Inisiatif itu turut memberi penekanan kepada peluang pekerjaan bergaji bermaruah melalui latihan TVET berteknologi tinggi, selain menyokong usaha memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelaburan dan pembangunan bakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

