
BILA ANGKA BERBICARA: ZON BEBAS KENDERAAN TARIK 1.5 JUTA PENGUNJUNG
BANDA HILIR 14 Oktober – Cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memperkenalkan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir terus menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 1.5 juta pengunjung direkodkan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, setakat Januari hingga September 2026, seramai 1,523,819 pengunjung direkodkan mengunjungi kawasan itu, sekali gus memberi limpahan kepada kira-kira 300 peniaga setempat.
“Sejak Januari hingga September, seramai 1,523,819 pengunjung direkodkan mengunjungi kawasan Zon Bebas Kenderaan.
“Jumlah pengunjung tertinggi dicatatkan pada Januari iaitu 183,006 orang, diikuti Mac seramai 182,117 dan 174,013 pada Mei 2026,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shadan, pelaksanaan inisiatif yang bermula sejak 2023 itu bukan sahaja memberi ruang kepada orang ramai menikmati kawasan Banda Hilir dengan lebih selesa dan meriah, khususnya pada sebelah petang hingga lewat malam, malah turut memberi limpahan ekonomi kepada peniaga setempat.
Katanya, jumlah pengunjung lazimnya meningkat pada sebelah petang hingga lewat malam berikutan keadaan cuaca yang lebih nyaman selain tarikan hiasan lampu di kawasan sekitar.
“Sambutan pengunjung dilihat lebih ramai pada sebelah petang hingga lewat malam kerana selain cuaca yang lebih sejuk, pengunjung turut teruja melihat hiasan lampu di kawasan sekitar.
“Bagi memastikan ia terus mendapat sambutan dan berjaya menarik lebih ramai pelancong serta pengunjung, MBMB sentiasa menambah baik pelaksanaan ini,” katanya.
Menurutnya, penerimaan peniaga setempat terhadap pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan juga positif, malah terdapat permohonan supaya tempoh pelaksanaannya ditambah terutama ketika cuti sekolah dan cuti umum.
“Ini menunjukkan pelaksanaan ini bukan sekadar memberi manfaat dari aspek rekreasi dan pelancongan tetapi turut membantu menghidupkan aktiviti ekonomi setempat.
“MBMB juga sentiasa bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan di kawasan Zon Bebas Kenderaan, sekali gus menambah tarikan kepada pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, Shadan berkata, pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan turut mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Emas pada Majlis Anugerah Hijau Negeri Melaka bagi Kategori Projek Hijau dan Anugerah Khas Most Green Impact bagi projek berkenaan.
“Zon Bebas Kenderaan ini juga merupakan satu komitmen terhadap kelestarian dan kesejahteraan rakyat selain dapat mengurangkan pelepasan GHC.
“Selain itu, kita turut menerima pengiktirafan Longest Duration for Car Free Zone Malaysia Book of Record 2024, yang membuktikan komitmen MBMB dalam menjayakan konsep kawasan bandar yang lebih lestari dan mesra pengunjung,” katanya.
Shadan berkata, MBMB akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan dalam menganjurkan pelbagai program dan aktiviti di kawasan Zon Bebas Kenderaan bagi memastikan Banda Hilir terus menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

