JKM bakal terima 377 pegawai pelindung kanak-kanak dan pegawai akhlak

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH: 31 Jan. – Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan sebanyak 377 permohonan bagi lantikan jawatan pegawai pelindung kanak-kanak dan pegawai akhlak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu seramai 208 Pegawai Pelindung Kanak-Kanak dan 169 Pegawai Akhlak bagi fasa pertama sudah diluluskan.

“Rentetan kes meragut nyawa Allahyarham adik Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek, pegawai pelindung kanak-kanak dalam kes sebegini sangat diperlukan.

“Bila ada aduan, pegawai ini bukan sahaja mengambil aduan, malah perlu siasat secara keseluruhan dari segi persekitaran, kekeluargaan, sekolah dan sebagainya,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) mengadakan sidang media selepas menziarahi keluarga angkat kanak-kanak yang mati dipercayai didera di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam. Foto: MR. Azli

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga angkat kanak-kanak itu di sebuah inap desa di Jalan Sungai Putat, dekat sini, petang tadi.

Hadir sama Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Latipah Omar.

Rina berkata, pihaknya terus berusaha menambah pegawai di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan kesejahteraan keluarga sentiasa terjamin.

“Teruskan membuat aduan, kita ada Talian Kasih yang beroperasi 24 jam, kita kena cakna kepada kehidupan supaya sekurang-kurangnya ia dapat mengelakkan serta mengurangkan kes sebegini daripada terus berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon pertambahan 1,122 bagi jawatan pegawai pelindung kanak-kanak dan pegawai akhlak.

Permohonan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk penelitian.

Views:

1665
Kongsi :
Previous post Moga Allah lembutkan hati ibu kandung
Next post JKM Melaka kemuka permohonan kepada mahkamah jaga dua anak suspek kes dera
Ubah saiz-+=