Moga Allah lembutkan hati ibu kandung

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 31 Jan. – Keluarga angkat kanak-kanak yang maut dipercayai didera di Taman Krubong Jaya, di sini, Jumaat lalu berharap keluarga kandung terutama ibunya memberi kebenaran jenazah arwah dikebumikan di Rawang, Selangor.

Md Tarmidi Yaacob, 52, berkata, mereka sekeluarga sempat bertemu dengan keluarga kandung arwah dan menyatakan hasrat itu ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, semalam.

“Polis panggil semua ahli keluarga bagi merakamkan kenyataan dan kami ada berjumpa nenek dan ahli keluarga kandung ‘Adik’.

“Isteri saya merayu kepada mereka untuk membenarkan kami membawa pulang jenazah ‘Adik’, namun mereka memaklumkan perkara itu perlu diputuskan sendiri oleh ibu kandungnya yang kini ditahan polis,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini.

Berikutan itu, dia memohon supaya keluarga berkenaan berlembut hati dan berlapang dada untuk membenarkan permohonan mereka sekeluarga.

“Saya tak putus doa supaya Allah lembutkan hati keluarga ‘Adik’ untuk benarkan kami bawanya pulang ke Rawang supaya isteri saya yang membesarkannya sejak lahir dapat ziarah kuburnya selalu.

“Kami juga bersyukur sepanjang berada di sini (Melaka), orang ramai tidak putus memberikan layanan yang baik macam adik-beradik,” katanya sebak mengenangkan mangsa yang dianggap sebagai anak bongsu dalam keluarganya.

Md Tarmidi berkata, keluarganya juga ada berjumpa dengan ibu mangsa di bilik mayat ketika proses pengecaman mangsa dilakukan hari ini dan memohon kebenaran daripada wanita itu, tetapi suspek hanya menggelengkan kepala.

“Kami bercadang mengebumikan Adik di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Beruntung di Rawang, Selangor sekiranya mendapat kebenaran daripada keluarga kandungnya,” katanya.

Difahamkan, proses bedah siasat Allahyarham Zubaidi Amir sedang dijalankan dan dijangka selesai malam ini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Ibu mangsa graduan diploma bimbingan dan kaunseling
Next post JKM bakal terima 377 pegawai pelindung kanak-kanak dan pegawai akhlak
Ubah saiz-+=