Ibu mangsa graduan diploma bimbingan dan kaunseling

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BUKIT BARU 31 Jan – Ibu kandung kanak-kanak yang maut dipercayai didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, dekat sini Jumaat lalu, adalah graduan Diploma Bimbingan dan Kaunseling di sebuah institut pengajian tinggi (IPT) swasta di negeri ini.

Tuhfah Naziha Md Tarmidi,26, yang juga kakak angkat kanak-kanak malang itu berkata, wanita berusia 32 tahun itu seorang peramah dan suka menyakat rakan kolej ketika mereka sama-sama menuntut dalam bidang sama enam tahun lalu.

“Saya mula mengenalinya ketika berada di tahun pertama pengajian manakala ibu kandung Amir senior setahun daripada saya.

“Apabila bertemu empat mata pagi tadi, kami sekeluarga tergamam dan terkilan dengan tragedi yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka di sini, hari ini.

Difahamkan, proses bedah siasat mayat kanak-kanak itu sedang dijalankan di hospital berkenaan sejak jam 11 pagi tadi dan keluarga angkat mangsa serta ibu kandung dan bapa tirinya dikehendaki hadir ke jabatan terbabit bagi membuat pengecaman jenazah.

Mengulas lanjut, Tuhfah Naziha yang mesra disapa ‘Adik’ berkata, ketika proses pengecaman itu, ibunya, Norlida Abu Hassan,50, sempat merayu kepada ibu kandung kanak-kanak itu bagi memberikan persetujuan urusan pengebumian dijalankan di Rawang, Selangor.

“Mereka (ibu dan bapa tiri) sampai dahulu di sini untuk pengecaman dan kami sempat melihat reaksi bapa tiri arwah asyik memberikan isyarat permohonan maaf kepada Umi,” katanya.

Semalam, Melaka Hari Ini melaporkan pasangan suami isteri masing-masing berusia 38 dan 32 tahun direman selama tujuh hari hingga 5 Februari ini bagi membantu siasatan susulan kematian Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek pada Jumaat.

#kesdera  #ZubaidiAmir  #reman  #hospitalmelaka

Views:

629
Kongsi :
Previous post YM Che’ Puan Khaleeda zahir simpati kematian Amir
Next post Moga Allah lembutkan hati ibu kandung
Ubah saiz-+=