YM Che’ Puan Khaleeda zahir simpati kematian Amir

Masa Membaca:55 Saat

BUKIT BARU 30 Jan – Berita kematian kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut dipercayai didera mendapat perhatian isteri Tunku Mahkota Johor (TMJ), Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

Che Puan Khaleeda berkongsi gambar Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7 menerusi laman Instagram peribadi miliknya hari ini.

Menerusi posting di laman itu, baginda berkata pandemik COVID-19 yang melanda dunia sememangnya memberi kesan terhadap kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, kematian kanak-kanak malang itu bagaimanapun mendapat perhatian ramai sehingga mengejutkan ramai pihak.

“Penderaan fizikal mahupun pengabaian atau penderaan seksual bukan sahaja mengakibatkan kecederaan terhadap kanak-kanak malah menjejaskan emosi dan psikologi golongan itu.

“Justeru itu saya merayu masyarakat agar lebih proaktif dan bersikap ambil peduli dengan masalah yang berlaku di sekeliling kita.

“Ambil peduli dan bertindak dengan segera sebelum terlambat. Ini merupakan tanggungjawab sosial dan moral setiap individu,” tulisnya.

Baginda turut menyeru kepada rakyat supaya menyalurkan aduan dan maklumat kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Talian Kasih.

“Sekiranya anda berdepan dengan ketidaktentuan emosi dan memerlukan sokongan serta membuat aduan berkaitan penderaan kanak-kanak, sila hubungi Talian Kasih 15999 atau Whatsapp 019 2615999,” tulisnya lagi.

Views:

1089
Kongsi :
Previous post Harimau kumbang jantan ‘galak’ musim PKP- Zoo Melaka
Next post Ibu mangsa graduan diploma bimbingan dan kaunseling
Ubah saiz-+=