JPA nafi dakwaan, syor Imigresen lakukan siasatan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyangkal dakwaan kononnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam (3 Ogos).

Memandang serius dakwaan berkaitan, JPA mengesyorkan supaya perkara itu disiasat sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan.

JPA dalam satu kenyataan hari ini menegaskan segala pertuduhan terhadap KPPA adalah tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej beliau sebagai pegawai tertinggi kerajaan.

Menurut kenyataan itu, KPPA telah menegur pihak Imigresen di KLIA berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur di mana pegawai tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara, dan sebaliknya mereka diarahkan terus ke kaunter pemeriksaan kastam untuk meneruskan perjalanan.

“JPA berpandangan bahawa ketidakpatuhan dalam menyemak dokumen imigresen seperti pasport adalah satu kesalahan yang serius di sisi undang-undang. Malah, pegawai yang tidak mematuhi peraturan Imigresen ke luar negara boleh diambil tindakan tatatertib,” menurut kenyataan itu.

JPA turut menafikan teguran berkenaan dibuat di khalayak ramai.

“KPPA hanya menasihatkan pegawai supaya mematuhi peraturan dan membantu menyelesaikan isu-isu sedemikian dengan berhemah. Beliau juga mengesyorkan supaya perlunya pihak Imigresen di KLIA meningkatkan pematuhan prosedur operasi piawai (SOP) bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan imigresen,” menurut kenyataan itu.

Tular di media sosial sejak semalam, dakwaan seorang pegawai yang bertugas sebagai Ketua Operasi Imigresen di KLIA dimarahi di khalayak ramai kerana tiada pegawai Imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP sewaktu ketibaan pegawai tinggi kerajaan itu di bilik berkenaan.

Susulan dakwaan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengarahkan Jabatan Imigresen menjalankan siasatan berhubung perkara itu bagi mendapat maklumat lebih jelas tentang kejadian yang sebenar.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1318
Kongsi :
Previous post Bertam Ulu FC juara Divisyen 2 Liga Melaka
Next post Muhammad Azeem perbaiki catatan masa peribadi terbaik 200m di Colombia
Ubah saiz-+=