JPM tidak campur tangan siasatan Tabung Haji
Menterinya Senator Idris Ahmad berkata pihaknya memberi kepercayaan penuh kepada pasukan yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) itu bagi menyiasat isu-isu pengurusan dan operasi Tabung Haji.
“Kita tidak masuk campur sebaliknya kita hanya beri senarai nama (anggota RCI) kepada Yang di-Pertuan Agong dan baginda telah memberi tauliah, maka kita beri kebebasan kepada mereka untuk melakukan apa sahaja dalam RCI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Skuad Musa’adah Keluarga Malaysia Agensi di Bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada mangsa ribut dan puting beliung di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Tawas di sini hari ini.
Pada 14 Julai tahun lepas kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berkaitan Tabung Haji.
Mengenai program hari ini Idris berkata beberapa keluarga mangsa ribut dan puting beliung di Ipoh Ahad lepas menerima bantuan wang tunai RM300 dan bekalan barang keperluan bernilai RM100 setiap keluarga hari ini, bagi membantu mereka yang terkesan akibat bencana berkenaan.
“Setiap kali bencana agensi-agensi agama akan turun dengan segera untuk membantu mereka yang terkesan walaupun bukan beragama Islam, kerana bencana tidak mengira agama dan bangsa, lebih-lebih lagi kita hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.