Rashid harap Malaysia buat kejutan di Badminton Berpasukan Asia

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Legenda badminton negara Datuk Rashid Sidek berharap barisan pemain badminton negara mampu menjelmakan prestasi baik bagi memberikan tentangan sengit kepada pasukan lain dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, dari 15 hingga 20 Feb ini.

Katanya beliau juga mahu melihat para pemain membuktikan bahawa mereka mampu mengatasi tekanan bermain di laman sendiri, selain mempamerkan semangat berpasukan tinggi dalam pertandingan tersebut yang menawarkan tempat automatik ke final Piala Thomas dan Uber 2022 di Bangkok, Thailand Mei depan.

“Saya memang harap mereka (Malaysia) buat satu kejutan dan dapatkan keputusan yang bagus dalam saingan BATC 2022 nanti. Namun, kita juga tidak boleh pandang rendah cabaran pasukan lain seperti Jepun dan Taiwan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ditanya sama ada isu juara All England 2021 Lee Zii Jia akan menjejaskan persiapan pasukan negara, Rashid percaya pihak pengurusan BAM serta jurulatih mampu mengawal isu berkenaan dengan baik.

“Sama ada anda pemain profesional atau bawah BAM sekali pun, itu semuanya sama, apa yang penting mereka tetap wakili negara dan mampu memberikan kemenangan kepada pasukan,” katanya yang kini membimbing juara Sukan Paralimpik Tokyo Cheah Liek Hou.

Zii Jia, yang berhadapan krisis dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini, dipilih sebagai pemain perseorangan pertama negara di BATC 2022.

Selain pemain ranking ketujuh dunia itu, lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong melengkapkan barisan perseorangan lelaki negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Sementara itu pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul bagi kategori perseorangan, manakala beregu diwakili Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai Indonesia, Jepun, Korea Selatan, India, Thailand, Taiwan, Hong Kong, Kazakhstan dan Singapura. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

242
Previous post Intervensi kerajaan jamin kestabilan harga ayam standard – Nanta
Next post JPM tidak campur tangan siasatan Tabung Haji