
KANAK-KANAK TIGA TAHUN POSITIF DADAH, PEMPENGARUH DITAHAN
AYER KEROH 22 April – Seorang pempengaruh media sosial ditahan polis 15 April lalu bagi membantu siasatan dalam kes pengabaian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang disahkan positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Melaka susulan laporan diterima daripada pegawai perubatan Hospital Melaka berhubung kejadian menimpa kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya, pegawai perubatan berkenaan melaporkan mangsa dihantar ke hospital tersebut dalam keadaan separuh sedar kira-kira jam 5 petang, 14 April lalu.
“Ujian saringan air kencing mangsa didapati positif Tetrahydrocannabinol (THC).
“Ibu mangsa memaklumkan bahawa kanak-kanak itu diambil dari rumah pengasuh yang juga ibu suspek di Sungai Putat sebelum dihantar ke hospital itu mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa sebelum itu pernah dibawa ke hospital sama dan dirawat menggunakan tiub pernafasaan di Zon Merah Jabatan Kecemasan dan Trauma pada 11 April lalu susulan masalah sesak nafas.
“Keadaan mangsa dilaporkan pulih dan sudah pulang ke rumah keluarganya,” katanya.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tiada rekod lampau.
Katanya, suspek direman selama tujuh hari bermula 16 April sebelum tempoh reman disambung lima hari lagi sehingga 27 April bagi melengkapkan siasatan.
“Kertas siasatan telah dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dan kini masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

