
MELAKA RANGKA PELAN HALA TUJU PEMBANGUNAN INDUSTRI SEMIKONDUKTOR 2035
AYER KEROH 23 April – Melaka mengambil langkah proaktif bagi memperkukuhkan pembangunan ekosistem industri semikonduktor dengan merangka pelan hala tuju pembangunan industri semikonduktor di negeri ini secara menyeluruh menjelang tahun 2035.
Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Program ‘Workshop On Developing Melaka Semiconductor Strategy 2035’.
Menurutnya, program ini merupakan anjuran Invest Melaka Berhad dengan kerjasama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) bagi menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan serta institusi akademik.
“Melaka tidak mahu ketinggalan dan sedang mengejar langkah untuk setanding dengan perancangan di peringkat persekutuan, khususnya dalam memperkukuhkan pembangunan ekosistem industri semikonduktor di negeri ini.
“Kita sedia maklum bahawa Melaka bukan sekadar negeri pelancongan tetapi sektor perindustrian merupakan juga penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri. Dalam konteks itu, industri semikonduktor adalah antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) serta pertumbuhan ekonomi Melaka.
“Justeru, kita mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama pihak industri dan kerajaan yang diwakili pelbagai agensi seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), MIMOS Bhd (MIMOS) dan lain-lain.
“Program ini turut melibatkan hampir 10 syarikat besar semikonduktor di Melaka. Penyertaan pemain utama industri, membolehkan kita merangka pelan hala tuju pembangunan semikonduktor Melaka dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program ‘Workshop On Developing Melaka Semiconductor Strategy 2035’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.
Hadir sama Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ginie Lim; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, perbincangan yang berlangsung hampir empat jam itu dibahagikan kepada empat kumpulan utama merangkumi beberapa kluster utama termasuk kedudukan industri dan pembangunan kluster, pembangunan bakat dan tenaga kerja, perluasan pelaburan dan ekosistem, serta inovasi dan pendigitalan.
Tambah beliau, selepas perbincangan, setiap kumpulan turut mengadakan sesi pembentangan bagi menukar idea, cadangan serta input daripada pemain industri dan agensi yang lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


