Karnival Kerjaya 3 Daerah sedia 2,000 tawaran kerja – KM

Masa Membaca:58 Saat

AYER KEROH 18 Feb. – Kerajaan negeri menyasarkan 2,000 tawaran pekerjaan dimanfaatkan rakyat Melaka menerusi Karnival Kerjaya 3 Daerah Peringkat Negeri Melaka 2021 bermula 10 April depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, penganjuran berskala lebih besar itu melibatkan tiga program karnival kerjaya di tiga daerah.

“Karnival kerjaya pertama akan diadakan di Masjid Tanah pada April diikuti Melaka Tengah pertengahan tahun dan Jasin pada hujung tahun tertakluk kepada situasi semasa pandemik COVID-19 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Antara aktiviti dalam karnival kerjaya tersebut adalah ceramah usahawan bersama selebriti berjaya, kaunseling kerjaya, sesi ‘grooming’dan pameran kerjaya.

“Selain itu turut diadakan temuduga terbuka dan kursus keusahawanan serta keusahawanan digital yang dilaksanakan secara fizikal jika keadaan mengizinkan dengan menepati SOP,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Penganjuran karnival itu melalui Institut Tun Perak (ITP) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN).

Sulaiman berkata, karnival itu diharap mampu merealisasikan 40 ‘touch points’ utama Belanjawan 2021 Negeri Melaka demi membantu dan mensejahtera rakyat selari dengan misi kedua Kerajaan Negeri Melaka.

“Misi ini berteraskan kepada keusahawanan serta sejajar dengan Flagship ke-5 Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 iaitu Melaka Negeri Usahawan,” katanya.

Views:

724
Kongsi :
Previous post Koridor M-WEZ sedia lebih 10,000 peluang pekerjaan
Next post Melaka perkenal 6 hentian Bas Singgah-singgah
Ubah saiz-+=