Karnival kerjaya tangani isu pengangguran Melaka – KM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 11 Mac – Penganjuran karnival kerjaya menjadi antara usaha kerajaan dalam menangani isu pengangguran pasca pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hasil penganjuran karnival kerjaya selain inisiatif lain disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), seramai 8,104 warga Melaka telah berjaya mendapat pekerjaan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu, ujar beliau, seramai 3,053 merupakan penerima manfaat Program Penjaya Kerjaya dan Program Jamin Kerja – Insentif Penggajian.

Malah, katanya, kadar pengangguran di Negeri Melaka juga adalah lebih rendah iaitu 2.6 peratus berbanding kadar pengangguran nasional pada 3.7 peratus.

“Terima kasih kepada KSM dan PERKESO yang memainkan peranan aktif dalam penempatan pekerjaan seterusnya memenuhi keperluan bakat berkualiti oleh syarikat dan organisasi di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka Careertrans dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas mengenai program berkenaan, Sulaiman memaklumkan lebih 6,500 peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor telah ditawarkan majikan terlibat.

IMG_20230311_161500_696
AYER KEROH 11 Mac – Orang ramai yang berkunjung ke Karnival Kerjaya MyFutureJobs Melaka CareerTrans dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Jelasnya, menerusi karnival itu, pencari kerja berpeluang meninjau dan memilih untuk menghadiri temu duga dengan mana-mana majikan daripada pelbagai sektor industri seperti kewangan, penjagaan kesihatan, teknologi dan lain-lain.

“Karnival ini merupakan platform membantu pencari kerja di negeri ini termasuk 10 peratus daripada golongan rentan atau orang kurang upaya (OKU) yang ditawarkan pekerjaan.

“Ia juga adalah usaha Kerajaan Negeri menangani masalah pengangguran serta kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1069
Kongsi :
Previous post Calon dipilih ukuran UMNO pada masa akan datang – Ab Rauf
Next post Penubuhan JMB mampu pulihkan pembangunan Pulau Melaka – CMI
Ubah saiz-+=