Penubuhan JMB mampu pulihkan pembangunan Pulau Melaka – CMI

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BANDA HILIR 11 Mac – Penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pulau Melaka buat julung kali hari ini, mampu memulihkan pembangunan di kawasan berkenaan dalam tempoh satu atau dua tahun ini.

Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI), Masrul Faizal Mohamad berkata, sejak Kerajaan Negeri memberi mandat kepada perbadanan itu pada tahun 2012 untuk menaik taraf kawasan berkenaan, pihaknya telah mengambil inisiatif untuk cuba menyelesaikan pelbagai permasalahan dihadapi pemilik premis sepanjang tempoh itu.

Katanya, antara langkah diambil termasuk menguruskan perlindungan insurans premis selain membaiki kerosakan serta keselamatan kawasan itu secara keseluruhannya.

“Lebih kurang 10 tahun kita menyelesaikan masalah dihadapi oleh pemilik lot kedai, alhamdulillah hari ini kita berjaya mewujudkan satu JMB supaya kita bekerjasama menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Diharap apa yang kita usahakan selama ini dapat memberikan pulangan yang baik kepada pemilik kedai ini dan khusus di kawasan Pulau Melaka ini kerana kawasan ini adalah kawasan pelancongan yang amat strategik untuk negeri ini.

“CMI mempunyai lebih kurang dalam 20 peratus daripada 1,176 unit secara tidak langsung kita juga salah satu ahli jawatankuasa (AJK) dalam JMB terbabit dan penubuhan badan berkenaan akan memastikan kesinambungan dalam kemajuan di kawasan Pulau Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan JMB Pulau Melaka Kali Pertama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Masrul Faizal berkata, pembangunan di Pulau Melaka secara keseluruhannya tidak diurus oleh CMI kerana ada beberapa bangunan bukan dimiliki oleh perbadanan itu.

IMG_20230311_154041_128
MELAKA 11 Mac – Bangunan yang terdapat di Pulau Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ujarnya, atas faktor itu, ia sedikit sebanyak mempengaruhi kemajuan di Pulau Melaka.

“Bagaimanapun, apa sahaja yang ada dalam lingkungan CMI di Pulau Melaka, Insya-Allah kita akan cuba usahakan bersama JMB, dan kita sasarkan dalam masa setahun dua akan dapat lihat lebih banyak perubahan di kawasan ini,” katanya.

Tambah Masrul Faizal, selain mewujudkan JMB, CMI juga mahu memastikan pembangunan di kawasan itu yang sebelum ini terbengkalai terlalu lama dibaik pulih.

“Kita akan wujudkan satu daya tarikan, salah satunya, ‘one life centre’ di Melaka dengan kewujudan sebuah sekolah antarabangsa yang dijangka akan mula beroperasi tidak lama lagi.

“Buat masa ini sekolah itu sedang menjalani kerja-kerja baik pulih dan pengubahsuaian yang mempunyai konsep ‘outdoor’.

“Terletak di tengah-tengah Pulau Melaka, kawasan itu amat strategik dan dijangka akan menjadi daya tarikan baharu di kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1781
Kongsi :
Previous post Karnival kerjaya tangani isu pengangguran Melaka – KM
Next post Anak OKU perlu dilayan sama rata
Ubah saiz-+=