KASA komited bantu Melaka selesai masalah air

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 9 Julai – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) komited untuk membantu menyelesaikan masalah air di Melaka melalui pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi.

Menterinya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, melalui dua projek terbaharu iaitu Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih dan TAPS Melaka, bekalan air di Melaka dijangka mampu bertahan hingga tahun 2052.

“Projek TAPS Jerneh (dahulu dikenali sebagai Empangan Jerneh) bernilai RM200 juta mampu menakung air sebanyak 13,000 juta liter dan mampu membekalkan air sebanyak 95 juta liter sehari kepada loji rawatan air Jerneh. Projek ini juga mampu menampung permintaan bekalan air Negeri Melaka sehingga tahun 2052.

“Bagi projek TAPS Melaka (Tasik Biru) pula dengan anggaran kos RM350 juta pula mampu menampung keperluan air di daerah Alor Gajah dan kawasan tambak laut Negeri Melaka sebanyak 280 juta liter sehari sehingga tahun 2040.

“Projek TAPS Melaka ini sedang dalam peringkat akhir penyediaan reka bentuk dan dijangka akan dimulakan pada tahun 2021 dan siap pada 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat perbincangan di antara KASA dengan Kerajaan Negeri Melaka berkaitan pengurusan air, alam sekitar dan gaya hidup hijau di Seri Negeri, di sini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasim Hasan serta Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai cadangan pembinaan loji rawatan tebus guna bagi membekalkan air bagi kegunaan industri di Taman Perindustrian Batu Berendam.

Views:

617
Kongsi :
Previous post TH records RM1.55 bln investment income in H1 2020
Next post PM mahu pendidikan rukun negara dijadikan agenda teras kerajaan
Ubah saiz-+=