Kasut Manik seni halus Baba dan Nyonya bawa pulangan tinggi

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDARAYA MELAKA 8 Feb – Jika pelukis menterjemahkan hasil karya pada kanvas, masyarakat Baba dan Nyonya Melaka pula menggunakan kasut untuk mempersembahkan kehalusan seni sulaman manik warisan turun-temurun nenek moyang mereka.

Ganjaran lumayan bukan sasaran mereka sebaliknya mahu berkongsi kehalusan seni kasut manik, mencari kepuasan dan mempertahankan warisan itu daripada luput ditelan zaman.

Presiden Persatuan Peranakan Cina Melaka (PPCM), Ong Kim Koon Peter berkata, misi mempertahankan kesenian, tradisi dan budaya masyarakat itu di Melaka menjadi misi utama penubuhan PPCM.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan warisan karya agung masyarakat Baba dan Nyonya itu diperturunkan kepada generasi baharu mereka yang menetap di negeri ini.

Bagi tujuan itu pihaknya menganjurkan program Let’s Manik Bersama, bertujuan mendedahkan cara dan teknik pembuatan kasut manik yang mampu membawa pulangan tinggi serta mendapat permintaan menggalakkan dalam pasaran kraftangan negara.

“Program ini berlangsung selama lima bulan bermula Jan hingga Mei depan. Sepanjang program ini peserta diberikan pendedahan dan tunjuk ajar mengenai cara menyulam manik oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dalam pembuatan karya ini.

“Mengikut pasaran kebiasaannya kasut yang direka khas menggunakan buatan tangan ini akan dijual antara RM600 hingga RM800 sepasang dan ia mempunyai peminatnya tersendiri.

“Harga sepasang kasut bergantung kepada rekaan, bentuk latar sulaman manik dan saiz kerana pembuatannya begitu rapi serta memerlukan masa yang lama untuk disiapkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

KEHALUSAN sulaman manik pada kasut.

Dia memberitahu, pembuatan kraftangan itu melambangkan seni halus masyarakat Baba dan Nyonya yang seharusnya diperluaskan lagi bagi memastikan ia kekal terpelihara.

“PPCM meluahkan rasa syukur kerana program mingguan diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad mendapat sambutan daripada 30 peserta.

Sekarang mereka sedang tekun menyiapkan sulaman pada kasut masing-masing dan dijangka menjelang Mei nanti semuanya akan siap.

“Program pengekalan budaya seperti ini akan diteruskan menerusi kerjasama pelbagai pihak agar warisan ini tidak terus dilupakan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2137
Kongsi :
Previous post Kaji semula pekeliling sedia ada – KPPA
Next post KLIA antara lapangan terbang terbaik dunia bagi suku keempat 2021
Ubah saiz-+=