Kaji semula pekeliling sedia ada – KPPA

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

PUTRAJAYA, 17 Feb – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) yang baharu Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah mahu semua pekeliling sedia ada dikaji semula bagi memastikan sama ada ia masih boleh dilaksanakan dalam perspektif semasa.

Mohd Shafiq yang dilantik sebagai KPPA pada 10 Feb lepas, berkata pembangunan pekeliling dan peraturan perlu dilaksanakan dengan lebih berhemah serta menyeluruh, dengan mengambil kira input dan pandangan terutama daripada pihak berkepentingan dalam peraturan berkenaan.

“Sesi libat urus yang dilaksanakan di peringkat awal pembangunan dasar dapat memastikan tidak timbul sebarang isu selepas dasar itu diperkenalkan,” katanya pada perhimpunan khas amanat KPPA yang pertama buatnya di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang merupakan pusat rujukan utama khususnya berkaitan pengurusan dan pembangunan sumber manusia, perlu memastikan semua dasar serta peraturan yang dikeluarkan berteraskan keperluan sebenar pelanggan dan berbentuk konsensus.

“Perlu dipastikan segala dasar dan peraturan yang dikeluarkan adalah bertepatan dan relevan sepanjang masa,” katanya selain menambah sesi libat urus, townhall, dialog, kaji selidik dan turun padang adalah antara yang perlu dijalankan bagi mendapatkan input atau data lebih berkualiti daripada pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Mohd Shafiq berkata organisasi awam sedia ada hendaklah diteliti dan dikaji dari segi saiz, struktur dan fungsi bagi memastikan tiada pertindihan, sekali gus perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat pada tahap optimum.

Menurutnya ketua jabatan hendaklah sentiasa meneliti, mengkaji fungsi sedia ada dan melakukan proses rekayasa bagi memastikan organisasi tersebut sentiasa relevan serta memenuhi keperluan semasa dan akan datang.

“Fungsi yang tidak lagi relevan hendaklah dijumudkan bagi membolehkan kita melaksanakan perkhidmatan dengan lebih berkesan berpaksikan objektif penubuhan organisasi itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata organisasi awam perlu membentuk satu budaya kerja berprestasi tinggi dan budaya pengurusan tepat dalam usaha menggalakkan percambahan idea dan menjana inovasi baharu.

Beliau berkata perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), Robotic Process Automation dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bukan sahaja mempunyai potensi untuk menambah baik cara bekerja bahkan telah mengubah cara rakyat berhubung dan berinteraksi dengan kerajaan.

Mohd Shafiq berkata dalam menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu, perkhidmatan awam hendaklah bersiap siaga dan membuat persediaan rapi dari sekarang menerusi platform perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan.

Antara cabaran yang akan dihadapi termasuk isu ketidakstabilan ekonomi global, masyarakat tua, penularan pandemik, perubahan demografi dan ancaman perubahan iklim.

Beliau berkata perkhidmatan awam memerlukan keterangkuman idea dan jalinan kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai organisasi berasaskan komuniti.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post Jenayah bitcoin meningkat secara drastik tahun lepas – Bukit Aman
Next post Kasut Manik seni halus Baba dan Nyonya bawa pulangan tinggi
Ubah saiz-+=