Jenayah bitcoin meningkat secara drastik tahun lepas – Bukit Aman

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

ROMPIN, 17 Feb – Jenayah melombong bitcoin haram menunjukkan peningkatan drastik pada tahun lepas apabila 570 kertas siasatan dibuka selain penahanan 528 orang dengan nilai rampasan berjumlah RM54 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata jumlah itu amat tinggi apabila dibandingkan dengan statistik tahun sebelumnya yang merekodkan 20 kertas siasatan dibuka dan penahanan 26 orang dengan nilai rampasan RM1.26 juta.

“Majoriti mereka yang ditahan merupakan golongan muda iaitu antara 18 hingga 30 tahun yang dipercayai mudah terjebak kerana tertarik dengan pendapatan lumayan secara mudah manakala suspek paling tua berusia 61 tahun.

“Polis juga telah membuka 20 fail di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada tahun lepas dan daripada jumlah itu, 10 individu dikenakan sekatan setakat ini,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pelupusan barang kes kecurian elektrik bagi kegiatan bitcoin oleh Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua JSJ Pahang SAC Mohd Yusri Othman, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wan Nazmy Wan Mahmood dan Majistret Rompin Wahidah Zainal Abidin.

Berdasarkan statistik, Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang merekodkan jumlah kes melombong bitcoin haram paling tinggi, kerana dapat berselindung di sebalik jumlah kawasan perindustrian yang banyak memandangan kegiatan itu banyak menggunakan tenaga elektrik.

“Kebanyakan suspek menggunakan premis perniagaan terpencil atau tersorok kerana kegiatan itu akan mengeluarkan bunyi bising dan haba panas selain akan kerap menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik disebabkan penggunaan arus elektrik yang tinggi,” katanya.

Abd Jalil berkata polis juga akan berbincang dengan Pejabat Peguam Negara supaya pendakwaan terhadap kesalahan bitcoin haram lebih dibuat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara berbanding Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda atau penjara, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wan Nazmy berkata sebanyak 7,209 kes kecurian elektrik melibatkan premis bitcoin direkodkan selama tiga tahun bermula 2018 selain menyebabkan banyak kebakaran memandangkan aktiviti itu tidak mematuhi spesifikasi Suruhanjaya Tenaga dan TNB.

“TNB juga kini menggunakan dron yang berkeupayaan mengesan haba panas dari udara di premis yang disyaki mejalankan aktiviti mencuri elektrik bagi melombong bitcoin secara haram selain memantau kawasan yang merekodkan penggunaan elektrik terlalu banyak namun bacaan meter adalah rendah,” katanya.

Pasukan Special Engagement Against Losses (SEAL) TNB yang ditubuhkan sejak 10 tahun lepas juga menurut Wan Nazmy lebih diperkasakan sejak tiga tahun lepas, untuk membanteras kegiatan mencuri elektrik bagi kegiatan bitcoin haram.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Keputusan rayuan Abdul Azeez batal tuduhan rasuah, penggubahan wang haram pada 23 Feb
Next post Kaji semula pekeliling sedia ada – KPPA
Ubah saiz-+=