Keputusan rayuan Abdul Azeez batal tuduhan rasuah, penggubahan wang haram pada 23 Feb

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Keputusan rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya, ditetapkan pada 23 Feb ini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nik Haslinie Hashim memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa pihak-pihak terlibat telah menerima surat makluman daripada Mahkamah Rayuan minggu lepas, berhubung tarikh keputusan rayuan itu.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez, 55, mengesahkan perkara tersebut.

Azura menetapkan 18 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi pihak-pihak memaklumkan status keputusan rayuan. Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Perbicaraan kes Abdul Azeez yang bermula 19 Ogos 2020 di Mahkamah Sesyen dengan tujuh saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan itu.

Abdul Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Mac tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin ketika menolak permohonan itu berkata mahkamah mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan permohonan Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling, untuk menangguhkan perbicaraan kesnya sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Azeez menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah keseluruhan RM13.9 juta yang didakwa diterima daripada syarikat Menuju Asas Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank, Jalan Tun Perak di sini pada 8 Dis 2010 dan di Affin Bank, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 April 2018, manakala kesalahan pengubahan wang haram dilakukan di kawasan Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

893
Kongsi :
Previous post Lebih 300,000 warga emas dijangkiti COVID – KP Kesihatan
Next post Jenayah bitcoin meningkat secara drastik tahun lepas – Bukit Aman
Ubah saiz-+=