Kawasan terjejas ekoran banjir di Sepang terus meningkat

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SEPANG, 19 Dis – Beberapa kawasan di daerah Sepang terus dinaiki air sejak 7 pagi ekoran limpahan air di beberapa sungai susulan hujan berterusan sejak semalam.

Antara kawasan terjejas ialah Jenderam Hilir, Kampung Sungai Buah dan Dengkil yang dinaiki air.

Sejak semalam, beberapa kawasan dilanda bencana banjir antaranya Labu Lanjut dan laluan utama dari Kota Warisan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditutup kerana dinaiki air.

Tinjauan Bernama sejak pagi mendapati laluan yang ditutup sejak semalam masih tidak dibuka kepada kenderaan kerana air belum surut.

Susulan itu, beberapa kawasan dinaiki air dipercayai dari empangan Semenyih yang dilepaskan menyebabkan keadaan banjir bertambah teruk.

Pengurus Pusat Latihan Memandu Cemerlang Bhd di Kampung Sungai Buah, Muhd Fahmi Othman, 41, berkata air dari sungai berhampiran naik mendadak sejak 7 pagi dan keadaan menjadi tidak terkawal selepas itu.

“Banyak benda seperti komputer dan buku latihan memandu tidak sempat diselamatkan. Hanya sebahagian kereta latihan sempat dibawa keluar. Ini adalah situasi terburuk sejak 1990-an,” katanya.

Penduduk Kampung Sungai Buah, Yetni Buyung Andung, 44, pula berkata rumahnya dimasuki air sejak 3 pagi menyebabkan beliau terpaksa berpindah ke rumah anak yang terletak kira-kira 500 meter di kawasan lebih tinggi.

“Siapa sangka rumah anak juga dinaiki air sejak 7 pagi tadi. Siapa sangka kawasan rumah yang diduduki sejak 25 tahun lepas yang tidak pernah banjir kini dinaiki air setinggi paras pinggang,” katanya yang sempat menyelamatkan kereta, cadar dan dokumen penting.

Jumlah mangsa terjejas setakat ini ialah 559 orang melibatkan 174 keluarga dan meningkat sejak semalam yang hanya terdiri daripada 124 mangsa daripada 30 keluarga yang telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Beberapa jalan utama di daerah Sepang turut ditutup kerana dinaiki air iaitu Jalan Labu Lanjut/Taman Dataran Abadi, Jalan Kota Warisan/Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Jalan Bukit Canggang BBST, Jalan Salak/Sepang dan Jalan Kampung Ginching berhadapan masjid.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2136
Kongsi :
Previous post Banjir: Pejabat daerah kenal pasti mangsa terjejas sebelum salur bantuan – KM
Next post Rakyat Malaysia tawar bantuan kepada mangsa banjir di media sosial
Ubah saiz-+=